Perkhidmatan Kereta Api China-Laos Pamer Prestasi Cemerlang

(CRI)Isnin 05 Disember 2022

Perkhidmatan kereta api China-Laos memperlihatkan keunggulan dari sudut kualiti dan pengurusannya yang saintifik selepas diuji dengan cabaran pengoperasian serta persekitaran alam.

Demikian ujar Timbalan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone ketika majlis sambutan ulang tahun pertama pengoperasian laluan kereta api tersebut di Vientiane, pada Sabtu.

Menurutnya, sebelum ini Laos merupakan salah satu negara dengan landasan kereta api per kapita paling sedikit daripada 149 buah negara yang mempunyai landasan kereta api di dunia.

“Dengan adanya landasan kereta api China-Laos, kini Laos menduduki tempat ke-28 di dunia dan tempat pertama di rantau ASEAN dalam ranking berkenaan,” kata Siphandone. 

 

Landasan sepanjang lebih 1,000 kilometer itu menghubungkan Kunming, ibu kota provinsi Yunnan dengan Vientiane, ibu negara Laos.

Sejak beroperasi setahun lalu, landasan itu telah membawa penumpang seramai 8.5 juta orang dan mengangkut kargo seberat 11.2 juta tan.

Perkhidmatan kargo rel itu turut dinikmati beberapa negara serantau yang lain termasuk Thailand, Myanmar, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Bangladesh dan Singapura.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar China di Laos, Xiang Fangqiang ketika berucap pada majlis itu menyifatkan rel tersebut sebagai projek ikonik penyelarasan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi pembangunan Laos.

Beliau juga menegaskan kesediaan China untuk bersinergi dengan Laos bagi memastikan rel itu beroperasi secara selamat dan efisien demi menyumbang kepada kesalinghubungan dan pembangunan serantau.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan