Memperkasakan Program Pertukaran Belia

(CRI)Khamis 23 Februari 2023

Meraikan kerjasama strategik komprehensif Malaysia-China yang termeterai pada tahun 2013 dan tahun ini telah melangkah ke tahun yang ke-10. Kedua-dua buah negara komited untuk memperkukuhkan hubungan persahabatan yang sudah pastinya selari dengan semangat Malaysia Madani. Langkah kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China, dokumen kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua buah negara boleh dilihat pada dokumen perjanjian persefahaman antara Malaysia-China pada tahun 2009. Dokumen perjanjian ini telah menjadi titik tolak awal untuk terus memperkukuhkan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan China. Kemudian, pada tahun 2011, perjanjian dokumen "Framework Agreement To Facilitate Mutual Recognition In Academic Higher Education Qualifications" Between The Government Of Malaysia And The Government Of The People's Republic Of China’.

Dengan adanya landasan kerjasama ini, kita dapat lihat usaha memperkasakan pertukaran belia Malaysia dan China diteruskan dengan baik. Baru-baru ini, kejayaan penghantaran 45 orang pelajar ke Beijing, China. Pelajar-pelajar ini akan mengikuti Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiaotong University (BJTU) China. Kerjasama ini adalah rentetan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi jalinan kerjasama dalam Program Dual Ijazah UMP-BJTU pada 8 April 2021. Sejak tahun 2017 , UMP juga sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC).

Maklumat daripada pihak UMP, daripada 45 pelajar, seramai 10 pelajar akan mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik manakala 20 pelajar (Kejuruteraan Mekanikal) dan 15 pelajar (Kejuruteraan Awam). Mereka menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda selama dua tahun. Semua pelajar bidang kejuruteraan yang bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara adalah pelajar perintis bagi program kerjasama ijazah dual selepas mengikuti pengajian selama dua setengah tahun di UMP.

Program dual ijazah ini telah membuka lembaran sejarah Malaysia dan China yang melibatkan institusi pendidikan tinggi kedua-dua buah negara bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik. Ianya secara langsung juga akan membantu pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia dan meningkatkan tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

Penulis juga melihat ini adalah kejayaan hasil semangat diplomasi pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak Kedutaan Malaysia di China dan Kedutaan China di Malaysia. Pelbagai gerak kerja peringkat awal seperti pertemuan, perbincangan dan kesepakatan telah membuahkan hasil dan yang pastinya komitmen daripada kedua-dua buah universiti dan sokongan padu daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Menyentuh berkaitan semangat diplomasi pendidikan ini sudah pastinya elemen-elemen madani seperti hormat dan ihsan menjadi asas mencapai persefahaman dalam kerjasama ini. Mengikut rekod, China dan Malaysia menikmati hubungan ekonomi yang kukuh, dan jumlah perdagangan pada 2022 mencatat keuntungan sebanyak US$203.6 bilion (RM876 bilion), meningkat 15.6 peratus pada tahun ke tahun dan merupakan kali pertama dalam sejarah angka itu melepasi US$200 bilion (RM863 bilion). Dengan adanya prestasi pertumbuhan ekonomi yang positif ini sudah pastinya pemerkasaan modal insan perlu difokuskan.

Belia-belia Malaysia perlu menyahut semangat untuk meningkatkan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang secara langsungnya akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara. Penulis dapat lihat dengan keupayaan China dalam bidang ini dan keupayaan Beijing Jiaotong Universiti untuk melengkapkan belia kita. Penulis juga yakin bahawa UMP sebuah universiti teknikal yang komprehensif dapat bersama-sama melahirkan belia yang diharapkan. Semoga ulang tahun ke-10 Kerjasama Strategik Komprehensif menelusuri persahabatan organik kedua-dua buah negara dan bersedia untuk membina Malaysia Madani yang dikongsi bersama.

 

Penulis: Mantan Penasihat Pendidikan

Kedutaan Besar Malaysia Beijing, China

Gaya Hidup

Berita Berkaitan