Saintis Jejak Unta Liar Guna teknologi Angkasa

Saintis penderiaan jauh Liu Shaochuang semasa bekerja di kawasan terpencil di Pergunungan Tangula di daerah Amdo, wilayah autonomi Tibet, tempat pasukannya mengesahkan hulu Sungai Nujiang. (foto: Shui Xiaojie/China News Service)

Di pejabat ahli sains penderiaan jauh Liu Shaochuang, terdapat gambar besar unta yang dirakamnya sedekad lalu di wilayah autonomi Uygur Xinjiang. Dengan memakai pakaian penyamaran, beliau merengkok berjam-jam di tepi kolam air di Gurun Gobi untuk menangkap imej itu.

Ini adalah subjek kajiannya.

Sejak 2012, beliau telah mengetuai pasukan untuk mengesan dan mengkaji unta liar menggunakan teknologi penderiaan jauh satelit. Tidak seperti ahli zoologi lain yang fokus kajian mereka adalah tentang spesies, Liu pula telah mengkaji hubungan antara haiwan terancam dan persekitaran mereka. Beliau percaya ini akan membantu membangunkan strategi perlindungan yang lebih baik dalam menghadapi perubahan iklim.

Menjelang Hari Hidupan Liar Sedunia pada 3 Mac, penyelidikan Liu mendapat perhatian kerana dianggap sebagai contoh yang berjaya tentang bagaimana teknologi angkasa lepas boleh memberi manfaat kepada usaha perlindungan haiwan di bumi.

Liu bekerja di Institut Penyelidikan Maklumat Aeroangkasa Akademi Sains China. Kajiannya telah merangkumi banyak bidang, termasuklah ekspedisi saintifik wilayah kutub dan pemetaan hulu sungai besar di seluruh dunia. Selain itu, beliau juga telah membangunkan sistem navigasi dan penyetempatan untuk perayau bulan dan perayau Marikh milik China.

Minatnya terhadap unta liar bermula apabila pasukannya menguji reka bentuk prototaip perayau bulan Yutu di padang pasir. Kehidupan di padang pasir di barat laut China dan barat daya Mongolia yang mencabar, menyebabkan unta berkuku genap disenaraikan sebagai haiwan terancam peringkat kritikal oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi. Pakar menganggarkan bahawa populasi spesies tersebut pada masa ini tidak sampai 1,000, lebih kurang 650 daripadanya berada di China.

 "Sepuluh tahun yang lalu, penyelidikan hanya bergantung pada pemerhatian manusia, yang sangat primitif, " kata Liu. Oleh kerana unta Bactrian liar berhijrah sepenuhnya dan boleh melakukan perjalanan jauh, saintis biasa mempelajari tabiat mereka dengan mengkaji bekas kuku dan najis. Sukar untuk mencari seekor unta di padang pasir, apatah lagi menjejakinya.

Namun begitu, Liu berpendapat kepakarannya dalam navigasi satelit dan penderiaan jauh mungkin berguna dalam kajian unta liar.

Usaha ini tidak mudah pada mulanya. Liu belajar zoologi bermula dari kosong. Pasukannya terpaksa menghabiskan beberapa minggu setiap tahun mengharungi debu dan ribut pasir di Gurun Gobi yang luas untuk mencari unta. Parut di kening kanannya adalah akibat terjatuh berguling di jalan gunung berceranggah di Xinjiang.

 "Saat yang paling mendebarkan ialah memasang penjejak pada unta liar," imbas Liu. Pada 6 Mei 2012, pasukan Liu buat pertama kalinya berjaya meletakkan kolar pengesan kedudukan satelit pada unta liar — seekor betina — di Gurun Lop Nur, Xinjiang.

Kolar penjejakan itu dilengkapi dengan pegesan khas dan beratnya hanya beberapa ratus gram. Ia boleh ditanggalkan secara automatik dan tidak akan memberi kesan negatif kepada kehidupan harian haiwan tersebut. Menurut Liu, kini kolar pengesan telah dipasang pada sekurang-kurangnya tujuh ekor unta liar dan lokasi dihantar melalui satelit setiap hari. Berdasarkan data penjejakan, saintis boleh mengenali laluan migrasi unta, persekitaran hidup dan kebarangkalian ancaman yang mungkin dihadapi.

Fungsi pesanan ringkas yang disediakan oleh Sistem Satelit Navigasi BeiDou China membolehkan kolar menghantar dan menerima isyarat dalam masa sebenar. Walaupun isyarat rangkaian komunikasi lemah, kolar dengan cip BeiDou tetap boleh menghantar kembali kedudukan unta liar melalui satelit China. Jika beliau berada di pejabatnya di Beijing, Liu juga boleh mengakses maklumat tentang suasana persekitaran dari komputernya, termasuk suhu, tumbuh-tumbuhan dan sumber air.

Penemuan terbaru beliau ialah julat habitat yang sesuai telah berkurang dengan ketara disebabkan oleh perubahan iklim, menyebabkan unta liar telah berpindah ke Banjaran Gunung Altun yang lebih sejuk di China dan kawasan altitud yang lebih tinggi di Mongolia.

Maklumat tersebut menggambarkan bahawa haiwan itu mungkin menghadapi lebih banyak bahaya, kata Liu. Sebagai contoh, habitat yang semakin sempit mungkin membawa kepada peningkatan kemungkinan serangan serigala dan berkurangnya air minum selain risiko penyakit yang lebih tinggi.

Liu menggesa supaya zon perlindungan semasa diperluas dan taman negara berskala besar untuk unta liar ditubuhkan. Sementara itu, beliau mencadangkan pembinaan sistem pemantauan bersepadu angkasa, udara dan darat yang akan menggunakan satelit penderiaan jauh di angkasa, pesawat di langit dan penderia pintar tanpa wayar di darat, untuk mengukuhkan dapatan capaian pemerhatian.

Bagi Liu, usaha untuk menggunakan teknologi sains bagi mengkaji spesies yang jarang ditemui itu adalah berbaloi. Para saintis mendapati bahawa DNA unta liar adalah 2 hingga 3 peratus berbeza daripada unta yang dijinakkan, manakala perbezaan DNA antara manusia dan cimpanzi hanya 1 peratus. Unta liar lebih berdaya tahan dalam persekitaran yang sukar, dan sesetengah penyelidik percaya bahawa gen haiwan ini mungkin memberikan informasi berguna untuk rawatan kanser dan diabetes.

Liu mengakui bahawa masa yang lama diperlukan untuk manusia memahami sepenuhnya spesies yang jarang ditemui ini. Banyak yang tidak diketahui tentang populasi, pengedaran dan tabiatnya. Penyelidik China berusia 60 tahun itu merancang untuk meningkatkan kerjasama dengan rakan sejawatannya dari Mongolia bagi meningkatkan perlindungan unta liar tahun ini dan menggunakan teknik pengesanan untuk kajian spesies lain pula.

 "Saya suka meneroka perkara yang tidak diketahui," kata Liu.

Lebih daripada 40 satelit navigasi BeiDou sedang beroperasi di orbit. China akan melancarkan tiga hingga lima lagi tahun ini untuk meningkatkan burujnya. Liu memberitahu bahawa perlindungan dan penyelidikan hidupan liar akan menjadi lebih tepat dan cekap dengan bantuan teknologi.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan