China Seru Rundingan Damai Palestin-Israel Disambung Semula

(CRI)Khamis 23 Mac 2023

Masyarakat antarbangsa harus meningkatkan kesungguhan untuk mendorong penyambungan semula rundingan damai antara Palestin dan Israel secepat mungkin, kata Timbalan Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang pada sesi terbuka Majlis Keselamatan, pada Rabu.

Menurut beliau, China memberi perhatian tinggi terhadap situasi keselamatan di Tebing Barat yang kian meruncing dan konflik kekerasan yang semakin parah ketika ini.

"China mengecam semua tindakan kekerasan terhadap rakyat jelata, dan menyeru pihak-pihak berkaitan agar mengelakkan tindakan provokasi dan hasutan yang boleh mengeruhkan lagi ketegangan," ujar Geng.

Tambah beliau, Israel selaku pihak pendudukan wajib untuk bersungguh-sungguh memenuhi kewajipan undang-undang antarabangsanya untuk melindungi keselamatan rakyat di wilayah yang diduduki, menahan pasukan keselamatan daripada menggunakan kekerasan secara berlebihan, membendung kegiatan kekerasan penduduk penempatan, selain menyiasat secara menyeluruh insiden berkaitan dan mengenakan tindakan terhadap individu yang terbabit.

Pada masa sama, Geng turut menegaskan bahawa keprihatinan keselamatan Israel yang munasabah juga perlu dipandang serius.

"Palestin dan Israel adalah negara jiran yang tidak boleh dipisahkan, oleh itu, kedua-dua pihak perlu dan hanya boleh memecahkan kitaran keganasan melalui dialog dan kerjasama untuk mencapai keselamatan bersama," kata beliau.

Geng mengatakan bahawa punca konflik Palestin-Israel berulang adalah kerana proses damai Asia Barat yang tergendala dan kegagalan pelaksanaan 'pelan dua negara'.

Beliau turut mengesyorkan masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan praktikal dalam melaksanakan 'pelan dua negara'.

Ia termasuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa yang lebih besar, lebih berwibawa, dan lebih berpengaruh untuk menggalakkan penyambungan semula rundingan damai antara Palestin dan Israel secepat mungkin.

“Negara yang mempunyai pengaruh penting dalam hal ini harus bertanggungjawab dan memainkan peranan yang membina.

“Majlis Keselamatan PBB juga dikehendaki mengambil tindakan yang bermakna dan memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam PBB,” kata Geng lagi.

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa agar terus berusaha demi mewujudkan penyelesaian isu Palestin secara komprehensif, adil dan berkekalan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan