Lebih 1 Bilion Pengguna Platform Video Pendek di China

Sudah menjadi suatu kebiasaan bagi orang untuk membelek-belek telefon melihat video-video menyeronokkan sewaktu menaiki tren, menunggu bas, berehat sejenak, ataupun bersiap-siap untuk tidur.

Menurut laporan Pusat Maklumat Rangkaian Internet China yang merumuskan perkembangan sektor Internet domestik, terdapat 1.07 bilion pengguna Internet di negara ini setakat Disember 2022. Bilangan pengguna platform video pendek pula mencecah 1.01 bilion.

Seorang lelaki yang berkekurangan dari segi mobiliti menjual produknya menerusi strim langsung di pekan Pangjia, Binzhou, provinsi Shandong di timur China. (People’s Daily Online/Shao Qiang)

Pakar percaya bahawa paduan video pendek dengan strim langsung, e-dagang, pendidikan, pelancongan dan industri-industri lain yang disaksikan kebelakangan ini telah menjadikan aplikasi dan platform berkaitan sebahagian hidup setiap warga.

Ajun seorang pencipta kandungan bagi platform video pendek China Douyin, iaitu versi domestik bagi aplikasi TikTok. Sebuah video yang memaparkan pemuda berkulit sawo matang memasak tauhu mendapat lebih dua juta reaksi ‘suka’ di Douyin, bahkan dipilih sebagai sorotan penting platform itu bagi 2022. Ramai yang meninggalkan komen bagi menzahirkan apresiasi mereka.

Ajun hanyalah salah seorang daripada pencipta kandungan seumpama yang tak terbilang banyaknya di China, seangkatan dengan petani yang merekodkan hidup di desa, doktor yang mempopularkan tip kesihatan, dan pelancong yang berkongsi detik-detik manis dalam perjalanan. Di platform-platform ini, setiap pengguna mempunyai peluang untuk menyerlahkan diri.

Pakar melihat kandungan yang semakin kaya sebagai faktor yang meningkatkan jumlah pengguna dan rasa setia mereka, sekali gus menjadikannya sumber utama pertambahan dalam aliran pengguna dan masa yang dihabiskan mereka untuk menonton video pendek.

Penghasilan video pendek sendiri perkara yang mudah diakses, fleksibel dan menyeronokkan. Inilah sebabnya video pendek digemari pengguna Internet, dan kian ramai yang menceburi bidang terbabit.

Ahli bomba di kaunti Hutubi, daerah autonomi Hui Changji di wilayah Xinjiang, berkongsi tip keselamatan api melalui strim langsung. (People’s Daily Online/Tao Weiming)

Uyinga seorang gadis Gen-Z yang memuat naik kandungan mengenai gaya hidup penggembala di kampung halamannya Xilingol, di wilayah autonomi Mongolia Dalam. Sejak lulus dari universiti, dia telah mengaut pengikut seramai lebih 2 juta, dan video-videonya telah ditonton lebih 400 juta kali. Pemudi ini turut membantu gembala tempatan menjual produk pertanian bernilai lebih 10 juta yuan (anggaran 6.5 juta ringgit).

Seorang lagi pemudi, yang berasal dari provinsi Hubei, memanfaatkan platform video pendek untuk memperluas pasaran bagi produk-produk akar teratai keluaran kampung halamannya.

He Qing yang berusia 58 tahun pula, selaku pewaris seni menatah filigri, satu bentuk warisan budaya tidak ketara, diikuti ramai peminat di platform video pendek, yang mahu lebih mengenali seni purba itu.

Seorang wanita lepasan Universiti Tsinghua, sebuah institusi pengajian tinggi tersohor di China, memperkenalkan buku-buku menerusi strim langsung serta mencadangkan permainan atas meja dan sebagainya yang banyak membantu keluarga membina hubungan lebih rapat.

Tatkala platform video pendek beransur-ansur menembusi sektor e-dagang, besarlah juga impak daripada sebuah model serba baharu yang menggabungkan video dan jual beli secara atas talian terhadap tabiat penggunaan orang ramai.

Seorang petani menjual tembikai menggunakan platform video pendek, di kampung Xishanping, daerah Beibei, bandar Chongqing. (People’s Daily Online/Qin Tingfu)

Tidak hairanlah apabila pakar rata-rata berpendapat bahawa pengguna platform video pendek yang begitu besar jumlahnya sedang memupuk pembentukan sebuah pasaran berskala raksasa. Video pendek dianggap satu saluran pemasaran dan komersial yang mustahak. Wadah ini cara efektif untuk melicinkan operasi e-dagang.

Tambahan pula, dewasa ini tampilnya satu kelompok pencipta video pendek yang memfokuskan perkongsian pengetahuan. Semakin hari semakin banyak teknologi canggih yang diperkenalkan kepada khalayak umum untuk pemahaman mereka.

Dimaklumkan, Douyin telah melancarkan satu siri video pendek bertemakan sains popular. Sarjana, institusi sains, tokoh budaya dan pempengaruh antara yang diundang untuk berkongsi pengetahuan sesuai dengan golongan muda menerusi eksperimen, animasi dan senario aksi langsung.

Platform video pendek makin diketengahkan sebagai arena untuk lebih ramai pakar dan sarjana melimpahkan buah fikiran mereka. Sun Wu, seorang pempengaruh yang penglibatan utamanya adalah dalam usaha mempopularkan sains, memberitahu People’s Daily bahawa video pendek telah berjaya membuat peralihan daripada mod penjelasan sehala kepada interaksi dua hala. Ini menjadikan para pengguna lebih cenderung untuk menonton, justeru kandungan yang disediakan dapat bertahan lama.

 

Gaya Hidup

Berita Berkaitan