Bina Komuniti Berkongsi Nasib China-Malaysia

(CRI)Isnin 03 April 2023

Presiden China, Xi Jinping menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Besar Rakyat, Beijing pada Jumaat lalu.

Xi mengatakan bahawa hubungan persahabatan antara China dengan Malaysia bersejarah lama, dan hubungan kedua-dua negara ini sentiasa di barisan depan negara-negara serantau.

“Tahun ini ulang tahun ke-10 terjalinnya perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia, manakala kita akan menyambut ulang tahun ke-50 ikatan diplomatik pada tahun depan.

“Dalam rangka lawatan Perdana Menteri Anwar ke China kali ini, kedua-dua pihak kita mencapai konsensus tentang pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, dan ini pasti akan membuka lembaran baharu bagi hubungan kedua-dua negara,” ujar Xi.

Beliau menyatakan bahawa China dan Malaysia harus menyelaraskan dan mendorong hubungan dua hala dan kerjasama dalam pelbagai bidang, menggalakkan hubungan kedua-dua negara berkembang mampan, serta menyuntik momentum baharu kepada kemakmuran dan pembangunan kedua-dua negara dan serantau.

Xi mengatakan bahawa China menjunjung tinggi konsep pentadbiran yang berpaksikan rakyat, manakala “Malaysia MADANI” anjuran Anwar pula berpusatkan pembangunan dan rakyat.

Menurut beliau, China bersedia meningkatkan komunikasi dengan Malaysia, memperkasakan kerjasama sama menang berasaskan prinsip saling menghormati dan percaya, merapatkan hubungan persahabatan, menyokong dengan tegas kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan antara satu sama lain, dan saling menyokong dalam usaha menempuh jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara masing-masing.

“China dengan tegas mempergiat keterbukaan bertaraf tinggi dan modenisasi ala China, dan ini diyakini akan membawa peluang baharu kepada pembangunan pelbagai negara termasuk Malaysia,” kata Xi.

Beliau menekankan bahawa kedua-dua pihak perlu mengintensifkan pembinaan bersama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mendorong projek-projek penting, memupuk titik pertumbuhan dalam ekonomi digital, pembangunan hijau dan tenaga baharu, serta meneroka kerjasama melibatkan kehidupan rakyat supaya hubungan China-Malaysia dapat membawa lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Anwar dalam pertemuan itu pula menyatakan bahawa beliau ialah sahabat sejati China dan membawa rasa muhibah yang ikhlas untuk membuat lawatan ke China. Rakyat Malaysia juga kagum melihat prestasi pembangunan yang cemerlang di China.

“Presiden Xi seorang yang berwawasan, seorang negarawan. Anda bukan sahaja telah mengubah hala tuju China, tetapi juga memberi sinar harapan kepada keamanan dan pembangunan dunia,” kata Anwar.

Beliau berkata, Presiden Xi mempunyai pandangan yang mendalam dan bijak tentang situasi antarabangsa dan masa depan dunia. Xi yang bercita-cita tinggi telah menganjurkan Inisiatif Keselamatan Global (GSI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI). Sementara itu, konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan mempunyai banyak persamaan dengan konsep “Malaysia MADANI”.

“Malaysia bersedia bekerjasama dengan China untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan membina bersama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),” kata Anwar.

Beliau menekankan bahawa Malaysia menentang konfrontasi kem dan tindakan paksa untuk memihak.

“ASEAN, sebagai tenaga yang bebas dan berkecuali, akan memainkan peranan membina untuk mengelakkan situasi serantau daripada menjadi tegang,” ujar beliau.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan