China, Malaysia Ganding Bahu Promosi Taman Perindustrian Kuantan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 10 April 2023

Pemandangan udara Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan. (Foto ihsan Beibu Gulf Holdings (Malaysia) Co., Ltd.)

Pemandangan udara Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan. (Foto ihsan Beibu Gulf Holdings (Malaysia) Co., Ltd.)

Pada Februari 2013, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan telah dibuka secara rasmi serentak dengan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou. Kedua-dua taman ini telah mencipta model "Dua Negara Dua Taman". Sejak 10 tahun lalu, sebagai teladan kerjasama pembangunan "Jalur dan Laluan" dua negara, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China bukan sahaja mempromosikan kerjasama praktikal China-Malaysia, tetapi juga mengeratkan ikatan persahabatan.

Pada 2014, Presiden Xi Jinping mencadangkan, "untuk menyelaraskan dengan strategi pembangunan masing-masing, taman perindustrian Qinzhou dan Kuantan harus dibina sebagai projek perdana untuk kerjasama China-Malaysia dan zon demonstrasi untuk kerjasama China-ASEAN." Sepanjang mencapai matlamat ini, China dan Malaysia telah meneruskan kerjasama yang erat.

Hari ini, Taman Perindustrian Kuantan telah mencapai hasil yang memberangsangkan. Sejumlah 12 projek telah ditandatangani, dengan jumlah pelaburan lebih daripada 40 bilion yuan (25.6 bilion ringgit), jumlah nilai keluaran perindustrian lebih daripada 35 bilion yuan (22.5 bilion ringgit), dan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan jangka panjang. Anggaran daya pengeluaran tahunan pula adalah sebanyak 10 juta tan.

"Dalam 10 tahun yang lalu, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan telah menjadi salah satu taman perindustrian yang paling berjaya di Zon Ekonomi Khas Pantai Timur," kata Dato' Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur. " Model ‘Dua Negara, Dua Taman’ Malaysia dan China sangat berjaya."

Pekerja Alliance Steel (M) Sdn. Bhd di bengkel. (Foto ihsan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd)

Pekerja Alliance Steel (M) Sdn. Bhd di bengkel. (Foto ihsan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd)

Alliance Steel ialah projek pertama yang bertapak di taman perindustrian, dan hanya mengambil masa 18 bulan dari permulaan projek hingga penyiapan keseluruhan talian pengeluaran. Hari ini, output tahunan projek Alliance Steel telah melebihi kapasiti reka bentuk sebanyak 3.5 juta tan. Ia merupakan salah satu perusahaan pemprosesan lengkap besi dan keluli terbesar dan paling maju di Malaysia, dan produknya dijual di seluruh dunia.

Alliance Steel pada masa ini mempunyai lebih daripada 4,000 pekerja, yang kebanyakannya adalah warga tempatan, dan gaji mereka jauh lebih tinggi daripada gaji purata tempatan. Kelly, anak muda Malaysia yang bekerja di sini berkata, pembangunan pantai timur di mana terletaknya Kuantan agak mundur dan penduduk setempat khususnya golongan muda sering ke pantai barat yang agak maju untuk mencari pekerjaan. Kini, dia boleh bekerja di taman perindustrian berhampiran, dan taraf hidupnya telah meningkat dengan ketara. "Bagi sesetengah pekerja, kami mempunyai empat atau lima ahli keluarga yang bekerja di taman perindustrian itu."

Dato' Baidzawi Che Mat berkata pembangunan Taman Perindustrian Kuantan telah menggalakkan pelaburan dari Malaysia dan China, dan pada masa yang sama mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dalam pelbagai bidang daripada pengeluaran sehinggalah pengurusan. Semasa pembangunan taman itu, kontraktor dan pembekal tempatan turut terlibat, dan sejumlah besar perusahaan kecil dan sederhana tempatan mendapat manfaat daripadanya.

Pelabuhan Kuantan adalah pelabuhan terbesar di pantai timur Malaysia dan menjadi tunjang untuk pembangunan Taman Perindustrian Kuantan. Bagi mempercepat pembangunan kawasan pantai timur, kerajaan Malaysia telah menyenaraikan Pelabuhan Kuantan sebagai salah satu pelabuhan pembangunan utama. Pada 2013, Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co., Ltd. dari China menjadi pemegang saham Pelabuhan Kuantan. Usaha bersama China dan Malaysia telah membawa semangat baharu ke pelabuhan yang telah mempunyai sejarah lebih 40 tahun ini.

China dan Malaysia bekerjasama untuk menaik taraf Pelabuhan Kuantan dan bersama-sama merancang dan membangunkan kawasan pelabuhan baharu. Menurut Ye Jingtao, Pengurus Kanan Operasi Kuantan Port Co., Ltd., bekalan peralatan tempatan adalah terhad, dan peralatan seperti pemunggah kapal, tindan roda timba dan pemulih guna tindan serta tali konveyor semuanya dari China. Untuk tujuan ini, syarikat China telah melatih pekerja tempatan secara khusus, dan menghantar pekerja untuk melihat dan melatih kemahiran di pelabuhan China.

Pada 2015, pengeluaran dan pendapatan operasi Pelabuhan Kuantan meningkat dua kali ganda. Pada 2018, fasiliti ini menjadi terminal kargo pukal awam terbesar di Malaysia dan mendapat pelaburan dalam pembinaan dua terminal air dalam seberat 150,000 tan. Dengan usaha bersama China dan Malaysia, kapasiti pengendalian Pelabuhan Kuantan terus-menerus ditambah baik.

Selepas pihak China menjadi pemegang saham, kerjasama dan pertukaran perniagaan antara Pelabuhan Kuantan dengan rakan kongsi China semakin rapat. Pada 2014, Pelabuhan Qinzhou dan Pelabuhan Kuantan secara rasmi menjadi pelabuhan bersaudara, yang membuka pintu kepada sinergi antara kedua-dua pihak dalam banyak bidang. Penerbangan terus pesawat kargo antarabangsa yang membawa kontena antara kedua-dua pelabuhan telah dibuka, dan masa penerbangan telah dikurangkan dengan banyak. China dan Malaysia juga telah menubuhkan pasukan bersama untuk mempromosikan Pelabuhan Kuantan kepada syarikat China.

Dengan pembinaan Koridor Darat-Laut Baharu di barat China yang telah dipacu, Pelabuhan Kuantan akan membuka peluang baharu. Ye Jingtao berkata bahawa hubungan antara Koridor Darat-Laut Baharu Barat dan Pelabuhan Qinzhou akan memperluas kawasan rangkaian ekonomi Pelabuhan Qinzhou dan Pelabuhan Kuantan. Sebelum ini, pengangkutan dari Pelabuhan Kuantan ke barat China melalui pelabuhan di timur China mungkin mengambil masa lebih daripada 35 hari. Tetapi jika mengikut laluan dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Qinzhou dan kemudian terus ke barat China dengan kereta api, perjalanan paling pantas memakan masa kurang daripada dua minggu. Ini akan mempermudah perdagangan antara China dan Malaysia."

Pembinaan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan telah membawa kepada lebih banyaknya cerita tentang ikatan masyarakat dengan masyarakat. Dengan perhubungan yang semakin kerap, Bandar Qinzhou dan Bandar Kuantan telah menjadi bandar bersaudara antarabangsa. Sejak 2016, kedua-dua bandar telah bergilir-gilir mengadakan aktiviti seperti "Hari Qinzhou" yang diadakan di Kuantan dan "Hari Kuantan" yang diadakan di Qinzhou untuk memperdalam lagi persefahaman sesama rakyat dengan mengadakan malam budaya dan aktiviti pertukaran belia.

Pepatah Melayu, "gunung sama didaki, lurah sama dituruni" adalah gambaran jelas tentang persahabatan China-Malaysia. Semasa wabak COVID-19, perusahaan di Taman Perindustrian Kuantan menyumbangkan kira-kira 2 juta topeng, sejumlah besar pakaian pelindung, alkohol dan bekalan anti-wabak lain kepada Malaysia untuk menyokong usaha memerangi wabak itu.

Dato' Baidzawi Che Mat memberitahu bahawa dengan pengesahan rasmi "Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau", "Dua Negara, Dua Taman" dijangka dapat mewujudkan rantaian perindustrian dan bekalan yang lebih lengkap antara Malaysia dan China, sekali gus memperdalam kerjasama pragmatik antara dua negara dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan pelancongan dan budaya.

"Pada masa hadapan, Taman Perindustrian Kuantan merancang untuk menggalakkan penaiktarafan industri dan perkhidmatan serta berusaha untuk mengurangkan pelepasan karbon. China dan Malaysia akan bekerjasama untuk mempromosikan pembangunan taman perindustrian itu ke arah satu era kegemilangan baharu," kata Lu Yong, Timbalan Pengurus Kanan Eksekutif Beibu Gulf Holdings (Malaysia) Sdn Bhd.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan