Pasaran Automotif China Kekal Mampan dan Baik

(CRI)Rabu 12 April 2023

Industri automotif China mengekalkan trend pembangunan mampan dan baik pada suku pertama tahun ini, demikian menurut statistik terkini Persatuan Pengeluar Kereta China (CAAM).

Difahamkan, kenderaan tenaga baharu (NEV) mengekalkan pertumbuhan yang agak pesat dengan pengeksportan kereta kekal berada pada tahap yang tinggi, sekali gus meningkat bahagian produk jenama China dalam pasaran antarabangsa.

Memetik statistik CAAM, jumlah pengeluaran dan penjualan NEV China pada suku pertama tahun ini masing-masing merekodkan 1.65 juta dan 1.59 juta, iaitu meningkat 27.7 peratus dan 26.2 peratus tahun ke tahun, selain turut mendapat 26.1 peratus dalam bahagian pasaran domestik.

Dalam pengeksportan pula, kenderaan China terus memperlihatkan trend yang kukuh sejak 2022, di samping turut membaharui rekod pertumbuhan terus-menerus.

Dalam tempoh Januari hingga Mac lalu, jumlah pengeksportan kenderaan China direkodkan sebanyak 994,000 buah, iaitu menokok 70.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu. Antaranya, NEV berjumlah 248,000 buah, meningkat 1.1 kali ganda.

Pada masa sama, kenderaan penumpang jenama China pula berprestasi baik dengan kuota 52.2 peratus dalam pasaran domestik, meningkat 6.3 peratus pada suku pertama tahun ini.

Naib Ketua Setiausaha CAAM, Chen Shihua menyatakan bahawa pengeluaran dan penjualan kenderaan di negara ini masing-masing memperlihatkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lepas sekiranya dilihat dari bulan Mac.

"Kami juga menanti-nantikan dasar berkaitan untuk menggalakkan pembelian kereta supaya merangsang kedinamikan pasaran dan membebaskan potensi pengguna agar memacu pembangunan mampan industri automotif China bagi tahun ini," kata beliau.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan