Rel China-Laos Terus Rekodkan Pertambahan Penumpang, Kargo

(CRI)Isnin 17 April 2023

Bilangan pengguna sistem rel China-Laos di segmen Laos direkodkan melepasi 10,000 orang sehari apabila perkhidmatan penumpang rentas negara diperkenal secara rasmi pada 13 April.

Pada hari sama, Laos-China Railway Co., LTD. mencatatkan satu lagi kejayaan apabila jumlah penghantaran kargo turut melepasi paras 10,000 tan.

Sejak awal tahun ini, syarikat itu mengoptimumkan lagi jadual dan rancangan operasi kereta api mengikut perubahan aliran penumpang.

Dengan penambahan hentian baharu dan kekerapan perkhidmatan tren, bilangan pelancong yang bergerak menuju ke Vientiane, Vang Vieng dan Luang Prabang di Laos menerusi sistem pengangkutan itu meningkat dengan ketara.

Selain itu, jumlah kargo yang dikendalikan melalui perkhidmatan rel berkenaan juga semakin bertambah, menyaksikan kategori barangan meningkat kepada lebih 2,000 jenis berbanding 100 jenis pada awal pembukaan.

Difahamkan, hantaran kargo dari China ke Laos antara termasuk peralatan dan kelengkapan, perkakas rumah, sayur-sayuran, bunga segar dan alat ganti jentera; manakala untuk laluan sebaliknya pula merangkumi produk seperti bijih logam, ubi kayu dan barli.

Bermula 1 Januari hingga 13 April, perkhidmatan rel di segmen Laos melakukan 1,130 perjalanan, meningkat 122 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan hantaran kargo mencecah 1.18 juta tan.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan