Laos Nanti Kebanjiran Pelancong China

Foto udara yang diambil pada 15 Julai 2022 ini menunjukkan pemandangan Luang Prabang, satu tempat warisan dunia UNESCO di Laos. (foto: Kaikeo Saiyasane/Xinhua)

Pihak berkuasa pelancongan Laos menjangka lebih kurang 368,000 warga China akan melawat Laos pada 2023, meningkat 21% berbanding 2022.

Angka itu dipetik pada mesyuarat Jabatan Pembangunan Pelancongan di bawah Kementerian Maklumat, Budaya dan Pelancongan pada Jumaat lalu untuk membincangkan persiapan bagi mengalu-alukan pelancong China.

Kerajaan Laos dan sektor swasta sedang membuat persediaan untuk ketibaan pelancong China selepas Laos disenarai hijau oleh kerajaan China untuk lawatan luar negeri.

Sebelum wabak COVID-19 melanda pada awal 2020, kira-kira 1,022,727 pelancong China berkunjung ke Laos pada 2019, menyumbang 21% daripada jumlah keseluruhan pelancong di negara itu. Pada 2022, pelancong China yang melawat Laos berkurang kepada 45,249.

Pelancong melawat Taman Patuxay yang terletak di pusat bandar Vientiane, ibu kota Laos, pada 7 Februari 2023. (foto: Kaikeo Saiyasane/Xinhua)

Ketua pengarah Jabtan Pembangunan Pelancongan, Phonemaly Inthaphome membentangkan draf rancangan mengenai persiapan untuk menyambut pelancong China. Antara kandungan draf ini termasuk menggariskan keadaan sekarang dan prospek masa depan pasaran pelancongan China, membuat persiapan untuk mengalu-alukan kedatangan warga China, serta menilai kelebihan dan kekurangan lonjakan pelawat terhadap Laos.

Beliau mengarahkan Jabatan Pembangunan Pelancongan dan sektor berkenaan menambah baik produk-produk pelancongan dan menaiktarafkan industri pelancongan menjadi lebih moden dan berkesan agar dapat memenuhi keperluan pelancong China.

Kereta api China-Laos dipandang sebagai faktor penting dalam memudahkan perjalanan. Dalam masa terdekat, laluan penerbangan baharu yang menghubungkan Vientiane dan beberapa bandar China akan dibuka untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong China.

Mesyuarat juga membincangkan cara untuk menaikkan nama Laos sebagai destinasi pelancongan yang menarik, termasuk menambah baik kemudahan, pakej perjalanan dalam negeri, tarikan pelancong, hotel, restoran, perkhidmatan syarikat pelancongan, pemandu pelancong, kedai cenderamata, perkhidmatan dan keselamatan, serta memperkemas prosedur keluar masuk pelancong.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan