China Seru Amalkan Multilateralisme Jitu

(CRI)Selasa 25 April 2023

China menyeru semua negara mempraktikkan multilateralisme jitu dan memperkukuh perpaduan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Seruan itu dibuat Wakil Tetap China ke PBB, Zhang Jun ketika menghadiri sesi debat umum Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Isnin.

Zhang yang berucap mewakili Menteri Luar Qin Gang, berkata manusia berdepan cabaran global yang belum pernah dihadapi sebelum ini.

"Usaha perlu dilakukan untuk memperkasa keberkesanan sistem tadbir urus global, mewujudkan keselamatan dan pembangunan bersama, dan beriringan menuju ke masa hadapan," ujar beliau.

Beliau menekankan perlunya mempertahankan kewibawaan dan keberkesanan Piagam PBB, memastikan semua negara menyertai urusan global secara sama rata, memelihara order berasaskan undang-undang antarabangsa serta tegas menolak sebarang sekatan sepihak.

Zhang turut mengkritik tindakan segelintir negara termasuk Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan sepihak secara sewenang-wenangnya tanpa kebenaran UNSC.

Beliau berkata tindakan seumpama tiada asas undang-undang serta bertentangan dengan trend pembangunan dan kemajuan dunia, semata-mata untuk mengekalkan kedudukan hegemoni dan monopoli teknologi.

Difahamkan, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres turut menghadiri sesi debat umum yang dipengerusikan oleh Sergei Lavrov, Menteri Luar Rusia, negara pengerusi bergilir UNSC.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan