Kerja Persiapan Sukan Asia Hangzhou Berjalan Lancar

(CRI)Jumaat 28 April 2023

Aktiviti kebudayaan bagi menyambut Sukan Asia Hangzhou telah selesai di Beijing pada Khamis.

Terdahulu, aktiviti seumpama itu telah diadakan di bandar-bandar lain iaitu Shanghai, Xi’an, Tianjin, Wuhan, Chengdu, Xiamen, Nanjing, Guangzhou dan Zhuhai.

Ketua Setiausaha Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia ke-19 merangkap Timbalan Datuk Bandar Hangzhou, Chen Weiqiang menyatakan bahawa pihaknya berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan termasuk semua venue terbabit hampir selesai dibina dan persiapan untuk pengoperasian sukan pun berjalan lancar.

“Terbitan utama sudah diumumkan termasuk jadual pertandingan versi 2.0."

“Pendaftaran kali kedua untuk pertandingan sudah selesai dan sebanyak lebih 1,500 pegawai teknikal antarabangsa untuk Sukan Asia sudah ditetapkan."

“Turut dijangka akan terdapat 50 buah pertandingan ujian yang bakal diadakan dengan tujuh daripadanya adalah pertandingan peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Menurut laporan berkenaan, kampung Sukan Asia dan cawangannya sudah bersedia untuk menyambut kedatangan atlet, pegawai dan pekerja yang berjumlah lebih 30,000 orang dari pelbagai tempat di Asia.

Dalam aktiviti sambutan sukan di Beijing itu, pihak penganjur turut melancarkan video muzik (MV) lagu tema rasmi Sukan Asia ke-19 di Hangzhou.

Pihak penganjur Sukan Asia Hangzhou komited untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah kepada atlet, pekerja dan penonton melalui teknologi digital.

Pingat yang direka bentuk untuk Sukan Asia ke-19 yang dijadualkan dirasmikan di Hangzhou pada 23 September nanti, akan diumumkan pada 15 Jun, iaitu hari pertama bermulanya kira detik 100 hari sebelum temasya sukan itu.

Untuk seterusnya, aktiviti larian obor serta pelbagai aktiviti kebudayaan juga dijadual akan dilancarkan tidak lama lagi.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan