Penguatkuasaan Menyeluruh RCEP Jana Kedinamikan Ekonomi Serantau

(CRI)Jumaat 02 Jun 2023

Penguatkuasaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) secara menyeluruh akan terus merangsang potensi kerjasama rantaian perindustrian dan bekalan sekali gus memperkukuh daya tahan serta kedinamikan ekonomi serantau, menurut Kementerian Perdagangan (MOFCOM) China.

Naib Pengarah Institut Pengajian Asia MOFCOM, Yuan Bo berkata perdagangan produk perantaraan (intermediate product) di kebanyakan negara anggota RCEP menyaksikan pertumbuhan mantap sejak perjanjian berkenaan berkuat kuasa.

"Ia mencerminkan peranan positif RCEP terhadap rantaian perindustrian dan bekalan serantau," jelas beliau.

Selaku gergasi industri perkilangan dunia, China kekal merupakan negara perdagangan produk perantaraan terbesar dalam kalangan anggota RCEP pada 2022.

Untuk rekod, nilai dagangan produk perantaraan China dengan anggota lain RCEP mencatat 8.5 trilion yuan (RM5.5 trilion) pada tahun lepas, menyumbang 69.3 peratus kepada keseluruhan dagangan antara China dengan negara terbabit.

Dalam perkembangan terkini, perjanjian RCEP dikuatkuasakan secara rasmi di Filipina hari ini, menandakan kesemua 15 negara anggota telah melengkapkan proses ratifikasi RCEP.

Ia turut meletakkan blok perdagangan bebas dengan populasi paling ramai serta skala ekonomi paling besar di dunia itu ke fasa pelaksanaan secara menyeluruh.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan