Teksi Tanpa Pemandu Mula Khidmat Berbayar di Ibu Negara

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 14 Julai 2023

Kenderaan pemanduan autonomi Baidu dan Pony.ai diuji di jalan raya di Yizhuang, pinggir selatan Beijing. (foto: China Daily)

Kenderaan pemanduan autonomi Baidu dan Pony.ai diuji di jalan raya di Yizhuang, pinggir selatan Beijing. (foto: China Daily)

Tanpa pemandu: Pencubaan asas yang mantap untuk penggunaan komersial

Lebih banyak teksi tanpa pemandu akan tersedia untuk disewa di ibu kota tidak lama lagi susulan keputusan Pejabat Zon Demonstrasi Pemanduan Autonomi Peringkat Tinggi Beijing untuk melancarkan operasi komersial kenderaan autonomi (atau swapandu) dan mengembangkan kawasan servis berkaitan.

Pada Jumaat lalu, pihak berkuasa di Beijing memutuskan dasar membenarkan syarikat yang layak untuk mengendalikan teksi tanpa pemandu tanpa penyelia keselamatan dalam kenderaan dan mengenakan caj kepada penumpang. Ini menandakan langkah konkrit telah diambil dalam pengkomersialan pengangkutan pintar.

Teksi pandu sendiri telah dilancarkan secara percubaan di ibu negara pada Mac berikutan beberapa siri ujian jalan raya, yang dijalankan dengan penyelia keselamatan dalam kenderaan.

Syarikat gergasi teknologi China, Baidu dan syarikat permulaan mobiliti autonomi Pony.ai memenangi permit untuk mengendalikan teksi tanpa pemandu melalui aplikasi panggilan tumpangan mereka dalam kawasan seluas 60 kilometer persegi di Yizhuang, yang terletak di pinggir selatan Beijing. Pada fasa ujian, penumpang dapat mencuba perkhidmatan mereka secara percuma.

Kini, Pejabat Zon Demonstrasi Pemanduan Autonomi Peringkat Tinggi Beijing merancang untuk membenarkan operasi komersial teksi tanpa pemandu di kawasan seluas 500 km persegi. Syarikat yang berminat dikehendaki memohon permit operasi komersial.

Menurut pejabat itu, 116 teksi pandu sendiri telah beroperasi di Beijing secara percubaan sejak empat bulan lalu. Mereka telah menyelesaikan lebih 1.5 juta perjalanan ujian, yang jarak keseluruhannya mencapai hampir 2 juta kilometer. Lebih daripada 95 peratus penilaian penumpang adalah baik.

Semua ujian awal dan percubaan percuma telah meletakkan asas kukuh untuk pelancaran komersial kenderaan tanpa pemandu dan memberikan banyak pengalaman dalam aplikasi demonstrasi tanpa pemandu, kata Xu Hongwei, timbalan pengarah eksekutif pejabat itu.

Semasa operasi komersial teksi tanpa pemandu, lebih banyak perhatian akan diberikan kepada penilaian keupayaan perkhidmatan syarikat mobiliti autonomi, dengan tumpuan utama pada kajian tiga aspek risiko iaitu keselamatan penumpang, keadaan trafik dan fungsi pemanduan autonomi, katanya.

Pada masa yang sama, penyeliaan harian yang disesuaikan dan pelan kecemasan akan dirangka untuk kumpulan kenderaan komersial tanpa pemandu bagi memastikan kenderaan ini berjalan lancar dan selamat di jalan raya, tambahnya.

Dai Wanli, seorang penduduk Beijing berusia 35 tahun memberitahu bahawa dia dan keluarganya pernah menaiki teksi tanpa pemandu pada Mei lalu di Taman Shougang, salah satu tempat Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

"Kami menempah perjalanan menggunakan aplikasi telefon bimbit dan mengikut arahan ke perhentian terdekat untuk menaiki teksi pandu sendiri. Kami mengimbas kod itu, pintu dibuka sendiri dan kami melangkah masuk," kata Dai.

"Anak saya sangat seronok menaiki teksi itu. Kami pernah melihat projek khas lain di taman perindustrian, namun yang inilah yang paling mengagumkan," katanya.

Bulan lalu, Xin Guobin, naib menteri industri dan teknologi maklumat berkata pada sidang akhbar bahawa China telah membuka rangkaian jalan raya sepanjang lebih 15,000 km untuk menguji kenderaan pintar, termasuk teksi dan bas, melibatkan pelbagai senario pemanduan autonomi seperti tempat letak kenderaan berjoki autonomi dan penghantaran tanpa pemandu.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan