Guangxi Dapat Durian Runtuh Daripada Kemasukan Barang, Pelancong

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 01 Ogos 2023

Tidak lama selepas pintu sempadan Youyiguan di wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China dibuka, deretan lori membawa barangan seperti buah-buahan, perkakasan elektronik dan produk pertanian dari negara-negara ASEAN mula melintas masuk ke ekonomi kedua terbesar di dunia ini.

Pada masa yang sama, kenderaan yang mengangkut tekstil, alat ganti kereta, dan besi pula bergerak ke arah yang bertentangan, merealisasikan perdagangan tanpa halangan antara kedua-dua pihak.

Foto ini yang diambil pada 12 April 2023 ini menunjukkan beberapa trak kargo berhenti di tempat pemeriksaan imigresen di Pelabuhan Dongxing, wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China. (Xinhua/Zhu Lili)

Foto ini yang diambil pada 12 April 2023 ini menunjukkan beberapa trak kargo berhenti di tempat pemeriksaan imigresen di Pelabuhan Dongxing, wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China. (Xinhua/Zhu Lili)

Pelabuhan Youyiguan terletak di sempadan China-Vietnam di bandar Pingxiang, dianggap antara pelabuhan paling sibuk di seluruh China bagi pengimportan dan pengeksportan buah-buahan. Kapasiti pelabuhan darat ini kini telah kembali ke tahap sebelum pandemik COVID-19 setelah hampir tiga tahun beroperasi dalam keadaan separa tutup.

Pada separuh pertama 2023, jumlah nilai dagangan rentas sempadan Guangxi mencatat 62.6 bilion yuan (sekitar 40 bilion ringgit), melonjak 126.3 peratus tahun ke tahun. Jumlah ini turut menyumbang kepada 18.5 peratus jumlah nilai dagangan luar wilayah berkenaan, sebagaimana yang disebut dalam data kastam.

Durian import yang terkenal dengan aroma yang kuat dan kulit yang berduri, tersusun rapi di platform kastam menunggu pelepasan oleh pegawai yang bertanggungjawab.

Selepas selesai mengambil inventori kumpulan durian segar, Nong Liqing, pengurus am sebuah syarikat import dan eksport durian yang berpangkalan di Pingxiang, dengan cekapnya mengatur penghantaran stok raja buah kepada klien di provinsi jiran, Guangdong dan juga provinsi Zhejiang di timur.

“Kami mengeksport lebih 1,000 kontena durian dalam setengah pertama tahun ini, sekali ganda lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lepas,” kata Nong, sambil menambah bahawa sekarang lebih sedozen kontena durian diimport setiap hari.

Dalam enam bulan yang sama, pelabuhan Youyiguan telah menyaksikan kenaikan 180 peratus dalam perjalanan berkereta berbanding tahun sebelum, iaitu hampir 200,000 perjalanan semuanya. Pertambahan besar ini bersamaan dengan jumlah yang direkodkan pada seluruh tahun 2022, dengan kemasukan kenderaan yang cukup banyak menerusi pintu di kedua-dua belah sempadan.

“Selepas China melonggarkan kawalan COVID-19 awal tahun ini, kemampuan pelepasan kastam Guangxi telah pulih kembali dengan ketara.” Maklum timbalan pengarah Kastam Nanning, Yang Baoqing, skala dagangan rentas sempadan juga meningkat dengan stabil.

Pelancong mengunjungi taman hiburan Fantaworld Asian Legend yang bertemakan budaya 10 negara ASEAN, di Nanning, wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China, pada 30 April 2023. (Foto oleh Lu Hai/Xinhua)

Pelancong mengunjungi taman hiburan Fantaworld Asian Legend yang bertemakan budaya 10 negara ASEAN, di Nanning, wilayah autonomi Zhuang Guangxi, selatan China, pada 30 April 2023. (Foto oleh Lu Hai/Xinhua)

Dengan memegang visa pelancong 15 hari, Hoang Thi Tuyet yang berasal dari utara Vietnam tiba di pintu sempadan Youyiguan pada petang 19 Julai. Hanya beberapa minit saja diperlukan untuk dokumen perjalanannya diperiksa di tempat pemeriksaan.

“Saya pernah melancong ke China beberapa tahun dahulu, tapi kali ini, saya merancang untuk tinggal selama 10 hari,” ujar Hoang. “Saya akan ziarah beberapa orang kawan di bandar Wuzhou, dan melawat-lawat ke sana sini di Pingxiang dalam perjalanan balik ke Vietnam.”

Guangxi telah menyaksikan kebanjiran masuk pelancong melalui pintu sempadan dengan Vietnam sejak awal tahun ini, susulan kegiatan pelancongan rentas sempadan kembali merancak.

Data rasmi Pelabuhan Youyiguan menunjukkan bahawa antara bulan Januari dan Jun, tempat pemeriksaan di pintu sempadan itu telah mengendalikan lebih 604,000 perjalanan, naik 180 peratus tahun ke tahun. Pelabuhan Dongxing yang juga bersempadan dengan Vietnam pula menyaksikan lebih 1.53 juta perjalanan dilakukan.

Menurut Fan Guoqing, pengarah biro budaya, sukan dan pelancongan Dongxing, dengan bilangan pelancong yang mencapai 5.61 juta, bandar tersebut mengalami ledakan dalam sektor pelancongannya, menjana hasil kira-kira 5.66 bilion yuan (3.6 bilion ringgit) dalam setengah pertama tahun ini.

Berita Berkaitan