Eksport Automobil China Catat Rekod Baharu pada Julai

(CRI)Jumaat 11 Ogos 2023

Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) merekodkan eksport automobil China memperbaharui rekod pada Julai, manakala kenderaan elektrik bateri (BEV) pula mengekalkan prestasi memberangsangkan dengan bahagian pasarannya terus meningkat secara stabil. 

Memetik data yang dikeluarkan pada Khamis, eksport automobil China meningkat 35.1 peratus pada Julai berbanding tempoh sama tahun lepas dengan catatan sebanyak 392,000 unit.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama, eksport automobil China meningkat 67.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan menokok 2.53 juta unit.

Antaranya, kadar peningkatan eksport BEV lebih pesat berbanding kenderaan bahan api tradisional dengan pengeksportannya meningkat lebih daripada 1.5 kali ganda dalam tempoh tujuh bulan pertama.

Naib Ketua Setiausaha CAAM, Chen Shihua berkata, industri BEV China mempunyai kelebihan pertumbuhan lebih pesat berbanding negara lain susulan rantaian perindustrian yang lengkap dan stabil serta daya saing produk yang kuat.

Mengikut perspektif unjuran sepanjang tahun ini, eksport automobil tahunan di negara ini dijangka melebihi empat juta unit.

Daripada jumlah tersebut, BEV diunjur akan melebihi sejuta unit, sekali gus menjadikan China sebagai negara terbesar dalam pengeksportan kenderaan.

Dalam perkembangan lain, BEV China menyaksikan peningkatan dalam pengeluaran dan penjualan dari Januari hingga Julai lalu.

Pengeluaran BEV meningkat 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan mencatat 4.59 juta unit, manakala penjualan pula meningkat 41.7 peratus dengan mencatat 4.52 juta unit dengan bahagian produk dalam pasaran sebanyak 29 peratus.

Video

Berita Berkaitan