Projek Air Mercu Tanda Datengxia Siap Awal Dari Jadual

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 04 September 2023
Projek Air Mercu Tanda Datengxia Siap Awal Dari Jadual
Foto bertarikh 2 September 2023 ini memperlihatkan kemudahan pengurusan sumber air Datengxia yang terletak di barat daya China. (foto/Xinhua)

Kementerian Sumber Air pada Sabtu lalu memaklumkan bahawa struktur utama kemudahan pengurusan sumber air Datengxia yang terletak di bahagian barat daya China berjaya disiapkan empat bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Berlokasi di Sungai Xijiang, anak sungai Sungai Mutiara, projek itu mempunyai lapan unit jana kuasa, dengan setiap satunya memiliki kapasiti terpasang sebanyak 200,000 kilowatt, sekali gus membolehkan penjanaan lebih daripada enam bilion kilowatt jam elektrik setiap tahun.

Menurut kementerian itu, projek tersebut juga dijangka menyumbang kepada kawalan banjir, pelayaran, pengagihan sumber air, dan pengairan di Lembangan Sungai Mutiara.

Melalui kerjasama dengan takungan lain di lembangan, projek itu dapat membantu Wuzhou, iaitu bandar yang berpopulasi lebih 2.8 juta di Guangxi untuk menghadapi banjir besar yang dikatakan berlaku sekali dalam seratus tahun, berbanding sebelum ini yang hanya mampu menahan banjir 50 tahun sekali.

Projek ini juga membolehkan beberapa bandar di Delta Sungai Mutiara menahan banjir yang berlaku sekali setiap dua abad.

Dengan pelaksanaan projek itu juga, kapal seberat 3,000 tan metrik kini boleh belayar di Sungai Qianjiang, bahagian Sungai Xijiang yang dahulunya cuma boleh menampung hingga 300 tan.

Memetik kenyataan kementerian itu lagi, kemudahan Datengxia juga akan memberikan sokongan padu kepada daya hidup luar bandar, menawarkan saliran pengairan kepada 80,000 hektar tanah ladang dan menangani kekurangan air minum bagi hampir 1.4 juta penduduk di Guangxi.

Bahkan, projek itu sudah pun memainkan peranan penting sejak memasuki fasa operasi percubaan tiga tahun lalu. Sebagai contoh, pada Jun tahun lepas, ia membantu menghalang dan menyimpan kira-kira 700 juta meter padu air apabila Sungai Xijiang dilanda banjir. Pada puncaknya, aliran air dikurangkan sebanyak 3,500 meter padu sesaat.

Sehingga kini, penjanaan kuasa elektrik dengan projek itu telah mencecah 11.5 bilion kilowatt jam.

Dengan jumlah pelaburan lebih RMB35.7 bilion, kemudahan pengurusan sumber air Datengxia disifatkan sebagai projek penting yang akan memberikan manfaat kepada jutaan penduduk di bahagian barat daya China.

Video

Berita Berkaitan