Usaha China Lindungi Alam, Jana Ekonomi Wujud Situasi Sama Menang

(CRI)Khamis 14 September 2023

Usaha melindungi alam sekitar dan menjana pertumbuhan ekonomi yang digerakkan serentak di China, berjaya mewujudkan situasi sama menang.

Demikian ujar ketua jurutera Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar, Liu Bingjiang semasa sesi dialog anjuran Persatuan Diplomasi Awam China di Beijing pada Rabu.

Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China berkembang sebanyak 69 peratus sejak 2013 hingga 2022, sementara itu kepekatan partikel halus bersaiz 2.5 mikron dan ke bawah (PM2.5) menurun 57 peratus.

"KDNK kami (China) berkembang pesat dalam tempoh sepuluh tahun lalu, manakala kepekatan jirim zarahan halus terus menurun. Pencapaian itu memanglah satu situasi menang-menang," kata Liu.

Difahamkan, kualiti udara di Beijing, Tianjin, Hebei serta Delta Sungai Yangtze dan Dataran Fenwei bertambah baik apabila tiada kawasan yang mencatatkan pencemaran udara.

"Sebagai contoh, tahap pencemaran PM2.5 di Beijing menjunam daripada 89.5μg/m³ kepada 30μg/m³. Ia dianggap sebagai 'Keajaiban Beijing' oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)," ujar beliau.

Menurut pakar berkenaan, penggunaan tenaga bersih bagi tempoh sedekad lalu merekodkan peningkatan sebanyak 41.4 peratus.

China kini mempunyai kapasiti terpasang terbesar di dunia untuk tenaga angin, suria dan hidro.

Video

Berita Berkaitan