China, Eropah Komited Tingkatkan Penyelarasan dan Kerjasama

(CRI)Selasa 26 September 2023

Dialog Peringkat Tinggi Ekonomi dan Perdagangan China-Eropah ke-10 diadakan di Beijing pada Isnin. Jurucakap Kementerian Perdagangan China dalam sidang media hari ini memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah menjalankan rundingan ikhlas tentang empat topik iaitu ekonomi makro, perdagangan dan pelaburan, rantai industri dan rantai bekalan, dan kerjasama kewangan.

Antara hasil dan persepakatan yang tercapai merangkumi penyelarasan dasar ekonomi makro, kerjasama rantai industri dan rantai bekalan, usaha memperbaiki suasana perniagaan, pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), keterbukaan industri kewangan antara satu sama lain dan kerjasama pengawalan dan pemantauan monetari.

Tahun ini ulang tahun ke-20 Perkongsian Strategik Komprehensif China-Eropah. Kedua-dua pihak bersedia bersinergi melaksanakan konsensus penting yang dicapai Presiden China, Xi Jinping dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, mendorong kerjasama kedua-dua pihak berkembang dengan baik dan stabil, menyuntik lebih banyak keyakinan kepada perkembangan dan kemakmuran ekonomi dunia serta membuat persiapan dari segi ekonomi dan perdagangan bagi pertemuan pemimpin China-Eropah ke-24.

Kedua-dua pihak berikrar mengekalkan keterbukaan antara satu sama lain, dan menyediakan suasana perniagaan yang sama rata dan tanpa diskriminasi kepada syarikat kedua-dua pihak.

Sementara itu, China dan Eropah bersetuju bersama memelihara dan memperkukuh sistem perdagangan multilateralisme, menentang amalan unilateralisme dan amalan perlindungan perdagangan.

Video

Berita Berkaitan