Cerita di Sebalik Semangkuk Mi Tarik Qinghai

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 27 Oktober 2023

Saya Ma Xueming, salah seorang daripada ratusan ribu tukang mi tarik di Qinghai.

Kampung halaman saya, pekan Hualong, banyak pergunungan, mempunyai iklim yang gersang dan pengangkutan yang menyusahkan. Tempat itu dahulunya daerah miskin di China. Pada 1980-an, 110,000 orang Hualong keluar dari tempat pergunungan untuk mencari rezeki dan memulakan perniagaan bergantung kepada cara membuat mi tarik.

Pada tahun 2002, saya mendapatkan pinjaman 7,000 yuan dan memulakan hidup baharu di Shanghai sebagai tukang mi tarik di kedai seluas 30 meter persegi. Mengambil kesempatan daripada trend perkembangan industri mi tarik, saya kemudian membuka kedai di Anhui, Tianjin, Hebei dan Mongolia Dalam. Apabila perniagaan bagus, saya boleh mengaut 700,000 hingga 800,000 yuan setahun.

Pada 2018, saya kembali ke kampung halaman dan menumpukan diri kepada industri mi tarik. Saya mula membina kilang dan membuka kedai rangkaian jenama.

Kepopularan mi tarik yang semakin menjadi-jadi tidak dapat dipisahkan daripada bantuan Parti Komunis China dan jabatan kerajaan di semua peringkat. Pekan saya sudah membuka sejumlah 46 kedai mi tarik di seluruh negara. Apabila terdapat kesukaran, kakitangan parti dan kerajaan tempatan sering menghulurkan bantuan.

Pekan saya juga merangkakan pelbagai dasar untuk menggalakkan perkembangan industri mi tarik. Jika menghadapi kekurangan dana permulaan, kami boleh memohon pinjaman khas dan dana sokongan. Jika tiada kemahiran membuat mi tarik, kami boleh pergi ke sekolah yang ditubuhkan di pekan untuk belajar secara sistematik. Selain itu, kami juga boleh bekerja secara sambilan di kedai mi tarik yang disyorkan oleh kerajaan. Semua jenis bahan mentah yang diperlukan untuk membuka kedai mi tarik boleh terus dibeli di laman web khusus yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Dengan ini, hampir 200,000 orang Qinghai dari semua kumpulan etnik berjalan keluar dari tempat pergunungan dan membuka lebih 30,000 kedai mi tarik di 337 bandar di dalam dan luar negeri. Hari ini, semangkuk mi tarik telah menjadi satu industri besar dengan jualan tahunan melebihi 10 bilion yuan.

Qinghai ialah tempat strategik di sepanjang laluan selatan Jalan Sutera purba, dan telah lama membentuk hubungan budaya yang mendalam dengan negara-negara Asia Tengah dan dunia Arab. Dengan pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) semakin mendalam, ramai rakan saya telah membuka kedai mi tarik di 11 negara dan wilayah termasuk Rusia, Malaysia, Korea Selatan dan Turki. Saya rasa, membolehkan rakan-rakan dari seluruh dunia merasai makanan lazat Qianghai, inilah warisan terbaik bagi semangkuk mi yang pertama kali muncul di dunia pada 4,000 tahun yang lalu.

Video

Berita Berkaitan