Pengantin Sewa Bas Merah untuk Upacara Perkahwinan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 01 November 2023

Pengantin lelaki dan perempuan, bersama-sama pengapit, bergambar dengan bas. (foto/China Daily)

Pengantin lelaki dan perempuan, bersama-sama pengapit, bergambar dengan bas. (foto/China Daily)

Apabila pasangan muda dari bandar mengikat ikatan perkahwinan, mereka biasanya akan menyewa konvoi kira-kira 10 buah kereta untuk menjadi pengiring ke tapak majlis di bandar Dalian, provinsi Liaoning.

Pasangan pengantin baru dari Dalian ini lain daripada yang lain – mereka memilih untuk menyewa bas awam.

Yang dan suaminya, kedua-dua berumur 26 tahun, berkenalan sewaktu belajar di Britain.

Pada hari perkahwinan mereka, sebuah bas elektrik berwarna merah yang dihias dengan karikatur pasangan itu, corak bunga ros gergasi serta kalimat “Kami akan berkahwin” membawa pengantin, pengapit dan ibu bapa Yang.

“Semua orang naik bas yang sama, menambah lagi kegembiraan. Kami main muzik meriah dalam perjalanan dan kawan-kawan menyanyi bersama-sama. Walaupun ibu bapa saya tak menyanyi, mereka juga asyik dibuai suasana,” kata Yang, mengenang kembali.

Dengan kos 10,000 yuan atau kira-kira 6,500 ringgit, yang termasuk kos hiasan, bas itu lebih murah daripada menyewa satu konvoi kereta.

Jika mereka telah memilih konvoi kereta, kenderaan untuk membawa pengantin sahaja menelan belanja lebih daripada 5,000 yuan. Sekiranya kenderaan yang dipilih itu jenis Rolls-Royce, sewanya melebihi 20,000 yuan.

“Kerja saya di Hangzhou melibatkan perancangan trafik, jadi bas awam ada tempat yang istimewa dalam hati saya. Saya rasa ‘bas bertema perkahwinan’ ini besar maknanya,” Yang berkata.

Penggunaan bas awam sebagai kenderaan pengantin pernah dilakukan sebelum ini di bandar-bandar di selatan China, tetapi ini kali pertama dilihat di Dalian.

Song Jian, ketua jabatan perancangan Dalian Transportation Advertising Co., menjelaskan bahawa ‘bas bertema perkahwinan’ ini menggunakan bas elektrik yang mesra alam dan karbon rendah. Rekaan bas dan laluan perjalanan boleh disesuaikan mengikut kehendak pengantin.

Katanya, syarikatnya akan terus meneroka lebih banyak konsep bas bertema kreatif dan meluaskan lagi perniagaan pada masa depan.

Video

Berita Berkaitan