Kenali Keindahan Tembikar Hitam Yunnan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 27 November 2023
Kenali Keindahan Tembikar Hitam Yunnan
Seorang tukang membuat produk tembikar hitam di kampung Tangman, pekan Nixi, bandar Shangri-La, daerah autonomi Tibet Diqing di provinsi Yunnan, barat daya China, 16 November 2023. (People’s Daily Online/Hu Zunhui)

Seni membuat tembikar hitam gaya Tibet mempunyai sejarah yang sudah menjangkau lebih 2,000 tahun. Ia dilindungi sebagai warisan budaya tidak ketara peringkat negara bagi kampung Tangman yang terletak di pekan Nixi, bandar Shangri-La, daerah autonomi Tibet Diqing di provinsi Yunnan, barat daya China.

Pekan Nixi, yang letaknya lebih 30 kilometer dari pusat bandar Shangri-La, signifikan dari segi sejarah kerana statusnya sebagai tempat perhentian penting di Jalan Teh-Kuda purba. Dalam bahasa Tibet, “Nixi” membawa maksud “tempat matahari terbit”.

Bentuk bumi semula jadi unik yang ada di sini, ditambah pula dengan tanah yang kaya dengan mineral, menjadikan tempat ini kawasan penting bagi penghasilan tembikar hitam. Ini termasuklah set teh, bekas wain dan peralatan memasak, yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan harian penduduk tempatan.

Pembuatan tembikar hitam melibatkan beberapa proses, iaitu mengumpul tanah liat, mengeringkan, mengayak, membuat acuan, membakar dan menggilap. Berbeza dengan pengeluaran industri barang tembikar, tembikar hitam Nixi masih lagi dibuat dengan tangan menggunakan teknik tradisional. Pada Jun 2008, teknik membakar tembikar hitam gaya Tibet dimasukkan dalam kumpulan kedua senarai warisan budaya tidak ketara negara China.

Zhishi Nyima, ketua kampung Tangman, berkata bahawa pekan Nixi sedang aktif menggalakkan pelaksanaan sistem guru-murid untuk mewariskan seni pembuatan tembikar hitam. Setakat tahun 2022, jumlah keluarga di pekan tersebut yang terlibat dalam penghasilan tembikar hitam telah meningkat daripada 40 kepada 108, sedangkan jumlah pengamalnya bertambah kepada lebih 150 daripada dulunya hanya 45.

Video

Berita Berkaitan