Sekolah China Pelbagaikan Aktiviti Sukan, Usaha Tingkat Kecergasan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 15 Disember 2023

Gambar yang diambil pada 12 Januari 2022 menunjukkan pelajar-pelajar

Gambar yang diambil pada 12 Januari 2022 menunjukkan pelajar-pelajar Urumqi, Xinjiang, bermain hoki ais. (Xinhua/Wang Fei)

Sejurus selepas loceng sekolah yang menandakan kelas tamat berbunyi, pelajar lantas menukar pakaian untuk menjadi peluncur ais dengan memakai kasut luncur dan pakaian pelindung, seterusnya menikmati aktiviti luncur di kawasan yang dilitupi ais di sebuah sekolah di bahagian timur laut China.

Saban tahun, pelajar sekolah rendah etnik minoriti Korea Mudanjiang di bandar Mudanjiang yang terletak di timur laut provinsi Heilongjiang China telah meneruskan tradisi tersebut.

Sekolah itu juga komited memupuk kesejahteraan fizikal dan daya tahan kanak-kanak melalui sukan musim sejuk dengan terus mengekalkan gelanggang ais selama empat dekad.

"Matlamat kami adalah untuk meningkatkan kecergasan fizikal kanak-kanak dan memupuk daya tahan mereka melalui penyertaan dalam sukan ais dan salji," ujar pengetua sekolah itu, Xuan Songyan.

Difahamkan, gelanggang luncur sekolah meliputi kira-kira satu pertiga daripada taman permainan dan boleh menampung puluhan kanak-kanak pada satu-satu masa.

Kebiasaannya, peluncur yang lebih berpengalaman akan menggunakan kepantasan untuk menguasai gelanggang luar, manakala yang baru mula bermain di kawasan tengah.

Guru pendidikan jasmani pula akan menyelia dan memberi arahan berkaitan langkah-langkah penting dan keselamatan.

Di luar kelas pendidikan jasmani, sekolah menambah keseronokan sukan ais dan salji dengan membuka gelanggang ais selepas waktu sekolah dan pada hujung minggu. Guru-guru juga dijadualkan memberi bimbingan, memastikan keselamatan kanak-kanak sambil memberikan peluang kepada mereka untuk menyelami keseronokan aktiviti itu sepenuhnya.

"Kanak-kanak terlibat secara aktif dalam aktiviti luncur. Malah mereka yang tidak mempunyai pengalaman sebelum ini telah mempamerkan kemajuan daripada 'tidak dapat berdiri di atas ais' kepada meluncur perlahan dalam tiga hingga empat kelas," kata Yin Jiyong, seorang guru pendidikan jasmani di sekolah itu.

Tambahnya, kini hampir semua murid di sekolah tersebut telah menyertai kelas luncur.

Di Beijing, waktu rehat telah menjadi "masa keemasan" untuk pelajar mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti sukan. Bagi pelajar di kampus Taipingqiao liga sekolah menengah No.12 Beijing, mereka akan datang ke taman permainan dan memilih peralatan sukan seperti tali lompat, gelung dan beg pasir, yang telah disusun oleh pihak sekolah mengikut pilihan masing-masing.

"Sekolah ini memberi penekanan yang ketara kepada aktiviti kampus pelajar, dengan menetapkan waktu rehat selama 30 minit setiap pagi dan petang," kata Song Zhenzhong, setiausaha parti sekolah itu.

Jelas beliau, selain aktiviti tradisional seperti berlari dan membaling beg pasir, pihak sekolah sentiasa memperkenalkan aktiviti selepas kelas yang inovatif seperti Permainan Ular secara langsung.

Dengan dorongan sains dan teknologi, sukan pintar dilihat menjadi tumpuan utama di provinsi Guangdong, selatan China.

Sekolah Rendah Xinsha Shenzhen telah mengguna pakai sistem sukan kecerdasan buatan yang menampilkan skrin senaman interaktif, sekali gus membolehkan kanak-kanak mengikut arahan untuk menyelesaikan pelbagai ujian seperti senaman cangkung, lompat bintang dan bangkit tubi.

"10 kanak-kanak terbaik mempunyai peluang bulanan untuk bersaing dengan pengetua," kata Wang Yaqiong, seorang guru di sekolah itu.

Beliau berkata, inisiatif inovatif itu juga berkesan dalam memotivasikan pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.

Bagi Chu Zhaohui, penyelidik di Akademi Sains Pendidikan Kebangsaan China, beliau berpendapat bahawa sejumlah besar sekolah di China telah meningkatkan tempoh aktiviti fizikal, seterusnya membuahkan hasil yang positif.

Video

Berita Berkaitan