Kanak-kanak Tibet Nikmati Suasana Sekolah Lebih Baik

Kanak-kanak Tibet Nikmati Suasana Sekolah Lebih Baik
Murid-murid balik ke asrama selepas kuliah malam di sebuah sekolah rendah di pekan Zhaxizom, kaunti Tingri, bandar Xigaze, wilayah autonomi Tibet, barat daya China, 5 Jun 2023.

Sekolah rendah pekan Zhaxizom yang lebih 40 kilometer jauhnya dari Gunung Qomolangma, merupakan sekolah yang paling dekat dengan kawasan pergunungan itu. Untuk memenuhi keperluan murid-murid yang pelbagai, sekolah tersebut telah memperkenalkan beberapa jenis kelas tambahan misalnya piano, teknologi maklumat, seni, penyiaran, sukan, tarian dan kraf tangan.

Pada masa ini, hanya terdapat sebuah piano di sekolah itu. Oleh yang demikian, ada kalanya papan nada elektronik digunakan sebagai ganti. Meskipun begitu, guru piano sekolah, Basang, sangat gembira melihat keadaan sekarang.

Basang yang tinggal di kaunti Tingri, ditempatkan di sekolah rendah pekan Zhaxizom tiga tahun lepas setelah lulus dari universiti perguruan. Sewaktu di universiti, Basang telah belajar bermain piano. “Semasa saya di sekolah rendah, tak ada piano, apatah lagi kelas piano,” ujarnya. “Keadaan memang dah berubah!”

Sekolah rendah pekan Zhaxizom ditubuhkan pada 1983, dan kemudiannya dinaik taraf dan diperluas pada 2010 dengan dana pelaburan negara berjumlah 8 juta yuan (kira-kira 5.16 juta ringgit). Pada 2016, kerajaan melaburkan lebih 40 juta yuan (lebih 25.8 juta ringgit) untuk membesarkan lagi sekolah itu, menjadikannya seperti yang dapat dilihat hari ini.

Kini, sekolah itu mempunyai 20 kelas yang terbahagi kepada 6 gred, dengan bilangan murid seramai 921 orang. Dilengkapi dengan kemudahan pengajaran moden, murid-murid di sini dapat menikmati suasana persekolahan yang setaraf dengan bandar tingkat pertama, hasil pelaksanaan platform pendidikan pintar negara yang khusus menyasarkan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Makmal sains khas, bilik darjah untuk kaligrafi, bilik komputer, perpustakaan, dan bilik seni semuanya serba lengkap. Tambahan pula, ada juga sebuah padang bola sepak rumput buatan serta gimnasium tertutup untuk kegunaan murid-murid.

Selain fasiliti yang cukup komprehensif, anak-anak petani, gembala dan penduduk pekan yang kurang mampu dikecualikan daripada bayaran makan minum, asrama dan lain-lain perbelanjaan persekolahan asas, berkat dasar pendidikan percuma yang dilaksanakan kerajaan sejak 1985.

Setakat 2021, dasar berkenaan telah membawa manfaat kepada hampir 9 juta pelajar di wilayah Tibet, melalui pelaburan kerajaan yang keseluruhannya melebihi 20 bilion yuan (hampir 13 bilion ringgit). Sekarang, Tibet juga telah memperluas liputan pelaksanaannya kepada pendidikan peringkat prasekolah.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan