Cendekiawan Malaysia: Tiba Masa "Belajar daripada China"

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 26 Disember 2023

Pada Mac tahun ini, China dan Malaysia mencapai kata sepakat penting untuk bersama-sama membina sebuah komuniti berkongsi masa depan, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua negara.

Akhbar Asahi Shimbun Jepun pada 18 Disember memetik Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sebagai berkata bahawa Malaysia pernah menganggap Jepun dan Korea Selatan sebagai model pembangunan ekonomi dalam dasar “Pandang ke Timur”, tetapi kini Malaysia juga harus belajar daripada China.

Anwar dalam satu temu bual berkata bahawa tujuan utama dasar “Pandang ke Timur” yang dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada 1982 adalah untuk belajar daripada strategi pemodenan ekonomi Jepun dan Korea Selatan. Sekarang, istilah “Timur” sepatutnya termasuk China. “Kita perlu terbuka untuk menyemak semula dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun.”

New Straits Times Malaysia melaporkan bahawa ramai pakar dan cendekiawan berpendapat dengan kelebihan ekonomi dan teknologi China sekarang, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia memasukkan China dalam dasar “Pandang ke Timur” negara. Ini akan memastikan ekonomi Malaysia dapat bersaing dengan China, sekali gus bersama-sama mengembangkan kuasa ekonomi Asia.

Hu Yishan, seorang penyelidik kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura menekankan bahawa adalah sangat penting bagi Malaysia untuk mengikuti perkembangan China kerana skala besar ekonomi China.

Pakar ekonomi Malaysia, Datuk Jalilah Baba mengulas bahawa Malaysia memerlukan strategi ekonomi jangka panjang yang luas dan adalah perlu untuk belajar daripada pengalaman China. “China mempunyai potensi pasaran yang besar, bukan sahaja dari segi skala, tetapi juga dalam pembangunan teknologi baharu.”

Profesor Azmi Hassan, penyelidik kanan di Institut Kajian Strategik Nusantara (NASR) Malaysia pula berkata China sangat maju dalam ekonomi digital dan boleh menyediakan Malaysia dengan banyak perkongsian pengalaman.

Beliau berkata Malaysia perlu membangunkan ekonomi digital dengan pantas. "Pada masa ini, ekonomi digital menyumbang 22% daripada KDNK, dan menjelang 2025, ia akan mencapai sekurang-kurangnya 35%."

"China mempunyai keupayaan ekonomi digital yang perlu difokuskan," kata Hassan sambil menambah bahawa China sangat kritikal dari segi pembangunan ekonomi dan geopolitik Malaysia.

Profesor Barjoyai Bardai, seorang ahli ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) Malaysia menekankan bahawa latar belakang dan cabaran ekonomi Malaysia serupa dengan China.

Profesor Barjoyai berkata, dalam tempoh 40 tahun yang lalu, China telah mencapai kemajuan cemerlang dalam perjuangan membasmi kemiskinan melalui beberapa siri dasar dan usaha. Penduduk miskin telah dikurangkan hampir 800 juta, dan ini telah menyelesaikan tugas yang sukar untuk menghapuskan kemiskinan mutlak.

"Kerajaan Malaysia perlu belajar. Kita perlu menerima pakai penyelesaian China yang terbukti berjaya ini untuk menyelesaikan masalah Malaysia."

Video

Berita Berkaitan