HSR Jakarta-Bandung Sasar 31,000 Penumpang Sehari pada 2024

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 19 Januari 2024
HSR Jakarta-Bandung Sasar 31,000 Penumpang Sehari pada 2024
Penumpang bergambar di Stesen Halim di Jakarta, Indonesia, 17 Januari 2024. (Xinhua/Xu Qin)

Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Jakarta-Bandung, iaitu HSR pertama di Indonesia dan Asia Tenggara, menyasarkan untuk memberikan perkhidmatan kepada 31,000 penumpang sehari sepanjang tahun ini.

Demikian maklum PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC), syarikat gabungan konsortium teroka antara firma milik negara Indonesia dan China yang membina serta mengoperasikan HSR berkenaan.

Pengurus komunikasi korporat KCIC, Emir Monti dalam satu sidang media pada hari Rabu menyatakan bahawa HSR yang dikenali sebagai Whoosh itu mampu menyediakan perkhidmatan kepada 31,000 penumpang dengan 68 perjalanan sehari.

Beliau yang memetik hasil kajian Universiti Indonesia berkata, KCIC meneruskan usaha menambah bilangan perjalanan, serta pada masa sama turut menambah baik perkhidmatan dan kemudahan di stesen, selain menyediakan promosi menarik untuk penumpang.

"Perjalanan kami masih terhad kepada 40 perjalanan sehari dengan jumlah penumpang sekitar 15,000 hingga 17,000.

“Maka, kami akan terus menambah secara beransur-ansur jumlah perjalanan, kapasiti pengguna, dengan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan," kata Emir.

Menurut beliau, Whoosh telah memberikan perkhidmatan kepada lebih 1.3 juta penumpang sejak memulakan operasi komersial secara rasmi pada Oktober tahun lalu.

Monti berkata, pencapaian sejak tiga bulan lalu telah mencerminkan permintaan yang tinggi daripada orang ramai terhadap pengangkutan awam moden, dan beliau turut optimistik bahawa bilangan penumpang akan terus meningkat.

Dengan kelajuan reka bentuk 350 kilometer sejam, HSR sepanjang 142.3 km itu mampu mengurangkan masa perjalanan antara Jakarta ke Bandung di Jawa Barat daripada lebih tiga jam kepada hanya sekitar 40 minit.

"Orang ramai berasa cukup selesa untuk menggunakan kereta api berkelajuan tinggi ini untuk mengadakan lawatan sehari di Bandung, atau menjalankan perniagaan harian di Jakarta dan pulang pada hari yang sama," kata Monti.

Video

Berita Berkaitan