Makin Galak Berebut Masuk Pasaran China

Makin Galak Berebut Masuk Pasaran China
Pegawai kastam memeriksa ceri import di Tianjin pada 17 Jan 2024. (Xinhua/Zhao Zishuo)

Apakah kelebihan yang ada pada pasaran China yang berskala raksasa?

Setiap 24 jam, anggaran 27,000 syarikat baharu didaftarkan, lebih 80,000 kenderaan baharu meluncur dari barisan pengeluaran, produk bernilai 35 bilion yuan dijual menerusi Internet, dan sekitar 300 juta bungkusan dihantar di seluruh negara.

Dalam masa sedekad lalu, China, ekonomi kedua terbesar, telah memupuk sebuah pasaran domestik yang berdaya tahan lagi dinamik, yang memiliki potensi hebat dan membawa keuntungan kepada dunia.

KELEBIHAN BESAR

Penganalisis percaya bahawa pasaran China pada hari ini mempunyai skala yang lebih besar, struktur yang lebih baik, peraturan dan institusi yang lebih lengkap, selain pengaruh dan daya penarik yang lebih mantap di persada antarabangsa.

China mempunyai kumpulan berpendapatan menengah yang terbesar dan juga pasaran pengguna kedua terbesar dunia, menawarkan peluang yang tidak terhingga kepada peniaga dalam pelbagai sektor, daripada pembuatan kenderaan sehinggalah makanan dan kosmetik, di merata dunia.

Adanya pasaran domestik yang kukuh membolehkan China menyumbang kepada 30 peratus pertumbuhan ekonomi global. Memandangkan China rakan dagang utama kepada lebih 140 negara dan wilayah, setiap 1 mata peratusan daripada pertumbuhan ekonominya boleh ditakrifkan sebagai kenaikan 0.3 mata peratusan bagi output negara-negara lain ini.

China yang merupakan negara pengeluar utama dunia, mempunyai semua kategori perindustrian, sedangkan nilai tambah sektor pengeluarannya mewakili 30 peratus jumlah global. Untuk bertahun-tahun lamanya, China kekal teratas sebagai negara pedagang barangan. Jaringan rel dan lebuh raya yang dibangunkan negara ini juga tiada tandingannya.

Pasaran China masih lagi berkembang, dengan daya penggerak dan momentum yang dijana oleh 180 juta entiti perniagaan dan 170 juta orang yang telah menerima pendidikan tahap tinggi atau memiliki kemahiran profesional.

Tertarik oleh peluang yang dijanjikan pasaran China, syarikat-syarikat bertaraf global terus-menerus meningkatkan kehadiran di sini dalam dekad-dekad lalu. Bilangan syarikat modal asing di China kini telah melebihi 1.18 juta. Daripada iPhone hinggalah kereta elektrik Tesla, produk-produk seumpama membuktikan betapa mustahaknya peranan pasaran China dalam rantaian bekalan global.

MEMUPUK INOVASI

China telah mengambil masa 27 tahun dari 1995 hingga 2022 untuk melihat output kenderaan tenaga baharu (NEV) yang asalnya sifar, mencecah 10 juta. Nyata sekali kontrasnya apabila sasaran output 10 juta yang kedua berjaya dicapai dalam masa hanya 17 bulan dari Februari 2022 hingga Julai 2023.

Wang Yiming, naib pengerusi Pusat Pertukaran Ekonomi Antarabangsa China menyatakan bahawa pasaran China yang berskala raksasa banyak menyumbang kepada daya saing sektor pengeluarannya, di samping giat mendorong pembangunan industri baharu, format perniagaan baharu dan model perniagaan baharu.

Tahun-tahun kebelakangan ini, gergasi ini telah memacu pembangunan prasarana baharu sejajar perkembangan industri-industri baru muncul.

Kini, lebih separuh daripada NEV yang ada di dunia berada di jalanan China. Dalam aspek pembayaran secara digital pula, hampir separuh daripada seluruh nilai transaksi sejagat direkodkan oleh China.

Menurut data Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat, skala kapasiti perkomputeran China menduduki tangga kedua dunia, dan bilangan syarikat kecerdasan buatan (AI) yang beroperasi di sini melebihi 4,400.

Dalam langkah untuk merancang pembangunan industri baru muncul strategik dan yang akan datang, China baru-baru ini memperkenalkan konsep “daya produktif baharu” dalam proses membuat keputusan.

Dengan menitikberatkan konsep inilah, China mahu menjana produktiviti yang lebih tinggi menerusi pencapaian-pencapaian teknologi yang bersifat revolusi, disokong oleh pengagihan faktor pengeluaran secara inovatif dan penaiktarafan sektor perindustrian yang lebih mendalam.

Video

Berita Berkaitan