Media Jerman Sangkal Bohong Barat mengenai Xinjiang

Media Jerman dalam satu rencana baru-baru ini, menyangkal pembohongan Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lain yang mendakwa wujudnya ‘buruh paksa’ di wilayah autonomi Uygur Xinjiang.

Pada 22 Februari, laman sesawang german-foreign-policy.com memetik Profesor Björn Alpermann, seorang pakar isu China di Universiti Würzburg, yang memberi amaran bahawa dakwaan itu “tidak dibuktikan secara konklusif”.

Syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan Xinjiang tidak patut dikenakan tindakan, kata Alpermann.

Menurut artikel itu, syarikat Jerman sedang berundur dari Xinjiang ekoran tekanan daripada Amerika Syarikat. Kempen paksaan Washington yang melarang urus niaga dengan syarikat dari wilayah di barat China itu telah menyebabkan peniaga Jerman menarik diri. Selepas BASF mengumumkan keputusan untuk menghentikan dua projek usaha sama di Xinjiang, Volkswagen pula yang sedang mempertimbangkan semula operasi kilang kendaliannya di ibu provinsi, Urumqi. Tuduhan bahawa penduduk etnik Uygur di sana dijadikan ‘buruh paksa’ pada skala yang besar-besaran dilihat sebagai faktor yang membawa kepada keadaan ini.

Meskipun Alpermann telah menegaskan bahawa “paksaan untuk bekerja tidak dapat dibuktikan secara konklusif” dan menggesa supaya tidak “melaksanakan kuasi-embargo ke atas seluruh wilayah itu”, satu peruntukan undang-undang telah pun dikuatkuasakan di Amerika Syarikat yang mengharamkan pengimportan produk Xinjiang dari segi prinsip. Ribuan unit Volkswagen kini sangkut di pelabuhan-pelabuhan Amerika Syarikat kerana Washington mendakwa terdapat komponen yang dibuat di Xinjiang dalam kenderaan berkenaan.

Memetik rencana Alpermann lagi, semua ini menunjukkan betapa pihak-pihak yang dekat dengan Washington mahu melihat kempen mereka untuk memutuskan hubungan ekonomi dengan Xinjiang menjadi kempen untuk memutuskan segala hubungan ekonomi dengan China.

Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning baru-baru ini berkata, sesetengah politikus telah menyebarkan terlalu banyak khabar angin dan maklumat palsu mengenai Xinjiang kepada masyarakat antarabangsa. Yang dikatakan ‘buruh paksa’ ialah satu daripadanya. Mereka ini yang mengada-adakan kebohongan mengenai Xinjiang, mahu mengganggu pembangunan Xinjiang malah mengekang kemajuan dan kebangkitan semula China. Percubaan sedemikian pasti gagal, ujar Mao.

Video

Berita Berkaitan