China Rekod Lebih 1 Bilion Pengguna Audiovisual Dalam Talian

Sehingga Disember 2023, China telah merekodkan lebih 1 bilion pengguna audiovisual dalam talian, dengan kira-kira 98.3 peratus daripada warganet menggunakan perkhidmatan audiovisual.

Demikian memetik laporan tahunan mengenai pembangunan perkhidmatan audiovisual internet China telah dikeluarkan di Chengdu, Provinsi Sichuan di barat daya China, semasa Konvensyen Audio & Video Internet China ke-11, pada Rabu.

Menurut laporan itu, pada 2023 sahaja, saiz pasaran China untuk industri audiovisual dalam talian, termasuk video pendek, penstriman langsung, audio dan bidang lain buat pertama kalinya melebihi RMB1 trilion (kira-kira USD141 bilion) iaitu mencecah jumlah keseluruhan lebih RMB1.15 trilion.

Turut dilaporkan bahawa menjelang Disember 2023, China mempunyai kira-kira 1.55 bilion akaun video pendek dalam talian, dengan lebih daripada 15 juta penstriman langsung profesional.

Sepanjang dua tahun yang lalu, pengguna audiovisual yang baharu di China kebanyakannya direkodkan dari kawasan luar bandar.

Timbalan setiausaha agung Persatuan Perkhidmatan Netcasting China, Zhou Jie berkata, pada 2022 dan 2023, China merekodkan jumlah pengguna audiovisual luar bandar di internet masing-masing sebanyak 299 juta dan 320 juta, dengan kedua-duanya menunjukkan kadar pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding pengguna bandar dalam tempoh sama.

Video

Berita Berkaitan