Penyelidik China Bangunkan Gentian Baharu, Ubah Kemeja-T Jadi Alat Elektronik

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 09 April 2024
Penyelidik China Bangunkan Gentian Baharu, Ubah Kemeja-T Jadi Alat Elektronik
(Foto ihsan Universiti Donghua)

Sepasukan penyelidik China berjaya membangunkan satu jenis gentian pintar baharu memancarkan cahaya dan menjana elektrik tanpa perlu dipalam.

Difahamkan, gentian itu menyepadukan pelbagai fungsi termasuk pengumpulan tenaga tanpa wayar, pencerapan dan penghantaran maklumat, serta boleh dijadikan tekstil yang boleh merealisasikan fungsi interaksi antara manusia dan komputer seperti paparan bercahaya dan kawalan sentuh tanpa cip dan bateri.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Science baru-baru ini itu dijangka mampu mengubah gaya interaksi antara manusia dengan alam sekitar selain sesama manusia, serta berperanan signifikan terhadap penggunaan tekstil pintar.

Peranti boleh pakai pintar kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan berperanan penting termasuk dalam pemantauan kesihatan, teleperubatan, serta interaksi manusia-komputer.

Berbanding dengan komponen semikonduktor tegar tradisional atau peranti filem nipis yang fleksibel, tekstil elektronik yang diperbuat daripada gentian pintar lebih lut udara dan lebih lembut.

Namun, perkembangan gentian pintar ketika ini menggunakan integrasi berbilang modul yang kompleks, sekali gus meningkatkan volum, berat dan ketegaran tekstil.

Pasukan penyelidik dari Kolej Sains dan Kejuruteraan Bahan Universiti Donghua secara tidak sengaja mendapati bahawa gentian telah memancarkan cahaya dalam medan radio semasa percubaan.

Berdasarkan penemuan, pasukan tersebut membangunkan jenis gentian pintar baharu yang menggunakan tenaga elektromagnet sebagai daya penggerak tanpa wayar.

Seorang anggota pasukan penyelidik, Yang Weifeng berkata bahawa jenis gentian baharu tersebut ditampilkan dengan bahan mentah yang menjimatkan kos dengan teknologi pemprosesan yang matang.

“Ia boleh merealisasikan paparan fabrik, penghantaran arahan tanpa wayar dan fungsi lain tanpa menggunakan cip dan bateri,” ujarnya.

Seorang lagi penyelidik dari Universiti Donghua, Hou Chengyi berkata bahawa kain yang diperbuat daripada gentian baharu boleh menjadi interaktif dan bercahaya, selain boleh mengawal produk elektronik dari jauh secara tanpa wayar dengan menjana isyarat unik untuk postur pengguna yang berbeza,

Menurut pasukan penyelidik tersebut, mereka akan mengkaji lebih lanjut tentang kaedah yang membolehkan gentian baharu mengumpul tenaga dari angkasa dengan lebih berkesan untuk membangunkan lebih banyak fungsi termasuk paparan, ubah bentuk dan pengkomputeran.

(Foto ihsan Universiti Donghua)

Video

Berita Berkaitan