Pasaran Padi Hibrid Berkembang di Asia

Padi hibrid Honglian, yang tahan terhadap penyakit dan perosak serta mampu beradaptasi dengan keadaan bersuhu tinggi telah tumbuh di Filipina. (foto/China Daily)

Padi hibrid Honglian, yang tahan terhadap penyakit dan perosak serta mampu beradaptasi dengan keadaan bersuhu tinggi telah tumbuh di Filipina. (foto/China Daily)

Peningkatan hasil padi hibrid yang dibangunkan di China telah membantu negara-negara terlibat Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk memperkukuh keterjaminan makanan masing-masing.

"Malaysia telah menyatakan keperluan mendesak untuk memperkenalkan benih padi hibrid China dan teknik penanaman bagi mengurangkan kekurangan makanan tempatan," ujar Ketua Syarikat Benih Guoying Wuhan, Ding Junping.

Beliau berkata demikian semasa berlangsungnya forum perusahaan pertanian kebangsaan di Wuhan, ibu kota Provinsi Hubei, baru-baru ni.

Untuk rekod, padi hibrid Honglian telah dibangunkan pada tahun 1970-an oleh Zhu Yingguo, iaitu ahli akademik Akademi Kejuruteraan Cina, dekan institut sains hayat di Universiti Wuhan dan ketua saintis syarikat itu.

Difahamkan, ciri-ciri yang dimiliki oleh padi jenis itu adalah sangat penting bagi negara-negara BRI seperti kualiti yang sangat baik, tahan terhadap penyakit dan perosak, serta mampu beradaptasi dengan keadaan bersuhu tinggi.

"Tahun lepas, penanaman percubaan pelbagai jenis yang dibangunkan oleh syarikat kami, seperti padi hibrid Honglian serta padi jimat air dan tahan kemarau telah dijalankan di Sarawak dan Sabah.

"Hasil berjaya mencecah 11.08 tan metrik bijirin sehektar, iaitu peningkatan lebih 120 peratus berbanding jenis-jenis tempatan, serta mendapat pengiktirafan tinggi daripada kerajaan tempatan, pihak berkuasa pertanian dan komuniti petani," kata Ding.

Pada Januari, delegasi dari jabatan pertanian Sarawak melawat syarikat itu untuk pertukaran teknologi dan rundingan perniagaan.

Ding berkata, perjanjian kerjasama telah dicapai untuk meluaskan pasaran Malaysia.

“Kami merancang untuk mengeksport 300 hingga 500 tan benih padi tahun ini dan 1,000 tan lagi pada tahun depan. Jumlah eksport dijadualkan mencecah 3,000 tan dalam tempoh tiga tahun, dengan perolehan pendapatan lebih daripada USD10 juta,” tambah beliau.

Video

Berita Berkaitan