8 Juta Warga Bandar China Ulang-alik Lebih 50km Sehari

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 18 Oktober 2024

Foto yang diambil dengan telefon ini menunjukkan orang ramai menaiki eskalator di sebuah stesen subway di Beijing, ibu negara China, 11 Mei 2021. (Xinhua/Ju Huanzong)

Foto yang diambil dengan telefon ini menunjukkan orang ramai menaiki eskalator di sebuah stesen subway di Beijing, ibu negara China, 11 Mei 2021. (Xinhua/Ju Huanzong)

Di 22 buah bandar yang paling padat penduduknya di China, mereka yang perlu berulang-alik antara tempat-tempat jauh masih lagi berdepan pelbagai cabaran. Satu laporan yang diumumkan pada Khamis menyebut bahawa lebih 8 juta penduduk bandar besar berulang-alik sejauh lebih 50 kilometer setiap hari.

Dapatan ini hasil pemantauan aliran pengangkutan di bandar-bandar utama, disusun oleh sebuah institut penyelidikan di bawah Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar dengan kerjasama Akademi Perancangan dan Reka Bentuk Bandar China.

Meliputi 45 bandar utama yang memiliki transit rel, laporan tersebut menunjukkan bahawa antara 22 bandar yang populasinya melebihi 5 juta, Beijing mempunyai perkadaran paling tinggi pengulang-alik jarak jauh, iaitu 12 peratus yang berulang-alik sejauh 50 kilometer. Ini diikuti Guangzhou dengan 10 peratus.

Dari segi masa perjalanan sehala, 28 peratus daripada pengulang-alik di ibu negara menghabiskan masa melebihi 60 minit. Sementara di Shanghai, Chongqing, Tianjin, Wuhan dan Qingdao, lebih 15 peratus daripada pengulang-alik tergolong dalam kategori ini.

Penumpang di Stesen Subway Hujialou pada waktu puncak pagi di Beijing, ibu negara China, 3 Januari 2023. (Xinhua/Ju Huanzong)

Penumpang di Stesen Subway Hujialou pada waktu puncak pagi di Beijing, ibu negara China, 3 Januari 2023. (Xinhua/Ju Huanzong)

Bagi kebanyakan mereka, khidmat transit rel masih perlu diperbaik. Walaupun jumlah keluasan kawasan dalam liputan rel transit di 42 bandar yang ditinjau yang mempunyai perkhidmatan subway adalah melebihi 10,000km, hanya seperlima pengulang-alik tinggal dan bekerja dalam lingkungan 800 meter dari mana-mana stesen.

“Setiap 430,000 yuan (kira-kira 260,000 ringgit) yang dilaburkan dalam pembinaan transit rel hanya membolehkan seorang lagi pengguna mendapat akses kepada lingkungan 800 meter tersebut,” jelas Fu Lingfeng, seorang pegawai Akademi Perancangan dan Reka Bentuk Bandar China.

Menurut Profesor Yang Zeng dari Universiti Shanghai pula, trend tinggal dan bekerja di bandar-bandar China adalah unik dan berbeza daripada di Barat, dan fenomena ini mencerminkan suatu potensi jangka panjang.

“Strategi seperti integrasi kluster bandar sedang menambah baik pengangkutan dan menawarkan fleksibiliti kepada orang muda, membolehkan mereka bekerja di bandar-bandar lain tanpa perlu tinggal di pusat bandar utama,” kata Yang.

Video

Berita Berkaitan