- Lain-lain
Eksklusif: PM Thailand Sifatkan Hubungan China-Thailand Terus Berkembang Stabil, Mampan
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 penjalinan hubungan diplomatik China-Thailand. Dalam tempoh separuh abad, hubungan dua hala terus diperdalam, serta membuahkan hasil dalam bidang kebudayaan, ekonomi, dan politik.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra ketika diwawancara eksklusif oleh People’s Daily Online dalam rangka lawatannya ke China telah berkongsikan kejayaan terkini dalam hubungan dua hala, serta menekankan persahabatan erat dan potensi besar untuk kerjasama masa depan antara kedua-dua negara.
Foto Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra (kiri) ketika menerima wawancara People’s Daily Online. (People’s Daily Online/Sun Shuyu)
Dalam rangka lawatan ke China kali ini, beliau telah bertemu dengan Presiden Xi Jinping, seraya diundang untuk menghadiri upacara pembukaan Sukan Asia Musim Sejuk (AWG) ke-9 di Harbin, Provinsi Heilongjiang, timur laut China.
Untuk rekod, ini merupakan pertemuan kedua Paetongtarn dengan Presiden Xi selepas pertemuan pertama di Peru baru-baru ini. Menurut Perdana Menteri itu, Xi dari pandangannya disifatkan sebagai seorang yang baik, bertimbang rasa, tegas dan mempunyai fikiran yang jelas.
Kata beliau, kualiti-kualiti yang tersemat pada Xi itu telah meninggalkan kesan mendalam buat dirinya.
Pada 2022, Xi telah mengadakan lawatan ke Thailand, yang menyaksikan pihak pimpinan Thailand dan delegasi China mencapai konsensus penting dalam pembinaan komuniti berkongsi nasib.
Mengimbas kembali mengenai lawatan Presiden China itu, Paetongtarn telah menzahirkan pujian terhadap perjanjian yang dimuktamadkan, dan menyatakan kedua-dua pihak telah terlibat dalam perbincangan mendalam tentang dasar-dasar baharu, sekali gus saling tukar perspektif yang berharga.
Mengulas tentang AWG, Paetongtarn berkata beliau berbesar hati untuk diundang menghadiri upacara pembukaan, sambil menyeru agar lebih ramai warga Thailand terlibat dalam acara sukan seperti itu.
Beliau menekakan bahawa perlawanan sukan bukan sekadar mengenai menang dan kalah, tetapi juga berperanan memperat hubungan dan mempromosi kefahaman antara pelbagai negara. Dalam kesempatan itu juga, beliau telah mengalu-alukan masyarakat China untuk mencuba sukan popular Thailand iaitu Muay Thai.
Thailand merupakan salah satu negara di sepanjang Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Di bawah rangka BRI, China dan Thailand telah memperdalam kerjasama dalam perdagangan, pelancongan, kebudayaan, dan pembasmian kemiskinan, serta secara berterusan memperkukuh asas sosial untuk perkongsian kooperatif strategik komprehensif.
Terdahulu pada 4 Februari, Perdana Menteri itu telah mengumumkan bahawa Kabinetnya telah mempersetujui Kereta Api Laju (HSR) China-Thailand fasa kedua, yang bakal menghubungkan Nakhon Ratchasima dengan Nong Khai.
Sebaik siapnya projek itu, ia secara tidak langsung akan mendorong perdagangan antara Thailand, Laos dan China, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang bagi syarikat-syarikat di ketiga-tiga negara tersebut.
Paetongtarn juga telah menyatakan keyakinan bahawa dengan tersedianya HSR itu, ia sekali gus akan memperkuat pertukaran antara rakayat dan hubungan perdagangan China-Thailand, seterusnya membawa impak positif buat kedua-dua negara.
Di sebalik kerjasama infrastruktur, beliau juga menekankan tentang peri penting kolaborasi budaya dan pelancongan. Katanya, persamaan budaya antara China dan Thailand telah menyediakan asas kuat bagi pertukaran dua hala.
Kata Paetongtarn, beliau akan terus mempromosi pembangunan yang stabil dan mampan hubungan dua hala ke peringkat yang lebih tinggi, sambil turut mengalu-alukan lebih ramai pelancong China untuk melawat Thailand, dan merasai sendiri hasil usaha negara itu dalam memupuk persahabatan dua hala.
Anda Berminat dengan China? Jom Ikuti Penerangan Tentang ‘Green Card’ China!
Keindahan Musim: Permulaan Musim Bunga
Tahun Baru Cina di Beijing: Warga Asing Nimakti Salji, Hotpot & Kemeriahan Qianmen
Tiga “Mama” Zhejiang, Seorang Anak Uygur
Jubli Intan Hubungan Diplomatik China-Indonesia: Ke Arah Kerjasama Lebih Kukuh
- Dorong Hubungan dengan China Menuju ke "50 Tahun Keemasan" - PM Thailand
- China, Thailand Komited Banteras Jenayah Rentas Sempadan
- Xi Jinping Terima Kunjungan PM Thailand
- Fasa Kedua Projek HSR China-Thailand Dijangka Siap 2030
- TBC Simbol Ikatan Budaya China dan Thailand: PM Paetongtarn
- Polis Thailand Komited Jaga Keselamatan Rakyat China
- Bekas Duta Besar Thai ke China Beri Bayangan Hubungan Lebih Erat Menjelang Ulang Tahun ke-50
- Xi Bertemu PM Thailand
- Tentera China, Thailand Bakal Adakan Latihan Bersama
- PM Baharu Thailand Komited Rapatkan Hubungan dengan China