China Umum Pelan Tindakan Untuk Menstabilkan Pelaburan Asing

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 Februari 2025

(foto/VCG)

(foto/VCG)

Satu pelan tindakan yang dirangka oleh Kementerian Perdagangan dan Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Negara telah dikeluarkan pada Rabu, yang bertujuan untuk menstabilkan pelaburan asing pada 2025.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, pelan yang diluluskan semasa berlangsungnya satu mesyuarat eksekutif Majlis Negara pada baru-baru ini tersebut telah diumumkan oleh Pejabat Am Majlis Negara.

Memetik pelan tindakan itu, pelaburan asing dilihat sebagai aspek utama dalam mempromosi pembukaan berstandard tinggi, selain turut memainkan peranan signifikan terhadap pemupukan tenaga produktif berkualiti baharu, serta memajukan lagi pemodenan China.

Xinhua melaporkan bahawa di dalam pelan tindakan itu, China akan menyokong kawasan-kawasan rintis untuk melaksanakan dasar pembukaan yang berkaitan dengan bidang seperti telekomunikasi yang mempunyai nilai tambah, bioteknologi dan hospital milik asing sepenuhnya secara lebih berkesan.

Difahamkan, China juga akan meneruskan usaha untuk mengembangkan program rintisnya bagi membuka bidang seperti perkhidmatan telekomunikasi dan perubatan pada masa yang tepat.

Pada masa sama, China juga akan melonggarkan syarat pinjaman tempatan kepada perusahaan asing, sekali gus membolehkan mereka menggunakan pembiayaan domestik bagi pelaburan ekuiti.

Turut ditekankan dalam pelan tindakan itu adalah memberi galakan terhadap perniagaan asing untuk melabur dalam bidang penternakan haiwan, termasuk penghasilan peralatan memberi makanan dan penghasilan ubat veterinar serta makanan.

Antara lain yang disebut dalam pelan tersebut adalah sokongan terhadap perusahaan asing untuk menyertai perindustrian baharu China, dengan fokus kepada bidang berteknologi tinggi.

Mereka juga dialu-alukan untuk berkecimpung dalam bidang penjagaan warga emas, kebudayaan dan pelancongan, sukan, penjagaan kesihatan, pendidikan vokasional dan kewangan.

Untuk rekod, pada 2024, sebanyak 59,080 perusahaan pelaburan asing baharu telah ditubuhkan di China, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 9.9 peratus dari tahun ke tahun.

China juga berjaya menarik pelaburan asing tahunan sebanyak lebih RMB1 trilion (sekitar RMB139.5) untuk tiga tahun berturut-turut dari tahun 2021 hingga 2023.

Video

Berita Berkaitan