Penstriman Langsung yang Diterajui Kedai, Dorong Pertumbuhan Hasil

Penstriman Langsung yang Diterajui Kedai, Dorong Pertumbuhan Hasil
Seorang staf di Kilang Kipas Kraf Lingyun Suzhou sedang menjual kipas menerusi penstriman langsung. (Foto fail)

Tatkala ekonomi digital dan ekonomi sebenar dilihat lebih berjalin, penstriman langsung yang dilakukan oleh jenama atau kedai di platform dalam talian masing-masing telah muncul sebagai model e-dagang yang dominan.

Ia sekali gus memberikan peluang pertumbuhan baharu serta mempamerkan nilai sosial dan komersial yang buat pihak perusahaan.

Berbanding melakukan penstriman langsung yang menampilkan pempengaruh atau selebriti, sesebuah jenama atau kedai secara kebiasaannya menggunakan khidmat kakitangan sendiri, hos profesional atau penyampai khas yang akan memperkenal, menjelaskan dan menjual produk kepada pengguna.

Dari Februari 2024 hingga Januari 2025, angka jenama yang mengadakan penstriman langsung pada platform video pendek, Douyin, meningkat ketara sebanyak 113 peratus dari tahun ke tahun.

Antara peniaga yang menjana pendapatan menerusi penstriman langsung, 69 peratus daripadanya bergantung kepada sesi yang diterajui kedai. Pada masa sama, lebih 1,000 peniaga mencapai jualan melebihi RMB100 juta (sekitar AS$13.8 juta), sementara jualan bagi 21,000 peniaga lain pula melangkaui angka RMB10 juta.

Pada 11 bulan pertama 2024, e-dagang penstriman langsung di China telah menjana sebanyak RMB4.3 trilion dalam jualan, dengan sesi yang diterajui kedai meliputi hampir 52 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Sheng Chun, wakil pewaris warisan budaya tidak ketara kraf pembuatan kipas di Suzhou, Provinsi Jiangsu telah menubuhkan Kilang Kipas Kraf Lingyun Suzhou dan juga jenama ‘Shengfengtang’ bersama-sama dengan suaminya pada 1997.

Dalam tempoh lebih dua dekad, mereka kini mengoperasikan fasiliti pengeluaran yang meliputi hampir 3,000 meter persegi, dengan pasukan yang terdiri daripada 80 pereka bentuk dan artis.

Pada 2020, ‘Shengfengtang’ telah memasuki pasaran penstriman langsung, dan dalam tempoh tiga tahun, penstriman langsung di Douyin telah meliputi sebanyak 90 peratus daripada keseluruhan jumlah jualannya.

Memetik data e-dagang Douyin, pada tahun lalu, lebih 30,000 peniaga berjaya melepasi angka jualan RMB1 juta pada tahun pertama mereka melakukan jualan secara penstriman langsung, dengan lebih daripada 162,000 peniaga berjaya meningkatkan pendapatan sebanyak dua kali ganda.

Pada 2024, bilangan peniaga pertanian yang menjana pendapatan menerusi model tersebut bertumbuh sebanyak 172 peratus, dengan lebih 10,000 peniaga melepasi jualan RMB1 juta.

“Penstriman langsung yang diterajui kedai bukan sekadar saluran tambahan bagi jualan, tetapi merupakan jambatan yang memupuk hubungan lebih mendalam antara jenama dan pengguna,” ujar Wang Yixin, naib pengarah Persatuan Perusahaan Komersial Kecil dan Sederhana China.

Beliau turut menekankan bahawa platform e-dagang berperanan penting dalam mendorong aliran ekonomi dan daya tenaga pasaran.

Untuk rekod, penstriman langsung yang diadakan oleh kedai di Douyin pada 2024 dicatatkan meliputi lebih 30 peratus daripada jumlah penjualan penstriman langsung di platform itu. Malah, buat dua tahun berturut-turut juga, penstriman langsung yang diterajui kedai telah mengetepikan jualan oleh pempengaruh.

Peningkatan penstriman langsung diterajui kedai telah mencetuskan permintaan pengguna yang baharu. Model tersebut bukan sahaja mengurangkan kos operasi peniaga, malah turut mewujudkan jambatan yang membolehkan komunikasi dilakukan secara terus antara jenama, peniaga dan kumpulan pengguna yang muda.

Video

Berita Berkaitan