- Lain-lain
Pelabur China Dorong Pertumbuhan di Malaysia
Para pekerja sedang memproseskan minyak sawit yang diimport dari Malaysia di barisan pengeluaran di sebuah kilang milik COFCO Corp di Taman Perindustrian Qingzhou China-Malaysia (CMQIP) di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi pada 13 Jun 2024. (Xinhua/Zhang Ailin)
Ketua Pegawai Komersial Pelabuhan Kuantan, Mazlim Husin menjadi saksi kepada pelaburan China yang telah mentransformasi Kuantan, ibu kota negeri Pahang di pantai timur Malaysia.
Bagi Mazlim, beliau menyifatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) sebagai telah mengubah landskap pembangunan keseluruhan perindustrian di Kuantan.
Untuk rekod, taman yang dibuka pada 2013 dan terletak di Wilayah Ekonomi Pantai Timur itu meliputi kawasan seluas lebih 14 kilometer persegi serta menyediakan kemudahan buat industri ringan, sederhana dan berat, selain menampilkan fasiliti komersial dan perumahan.
Alliance Steel merupakan salah satu pembuat keluli terkemuka di Malaysia yang beribu pejabat di MCKIP.
Mazlim berkata, keberadaan syarikat itu di Kuantan bukan sahaja menggalakkan syarikat lain untuk melabur di bandar itu, malah turut membantu dalam mendorong pembangunan sosioekonomi komuniti tempatan. Difahamkan, ia adalah menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan sumber bijih besi serta bahan semula jadi lain untuk dan dari komuniti setempat.
“Anda boleh saksikan banyak perubahan dan pembaikan di kawasan sekitar ketika ini. (Pelaburan itu) menyatupadukan rakyat, dan kami hanya mahu (Kuantan) untuk berkembang,” ujarnya kepada China Daily.
MCKIP dan Taman Perindustrian Qingzhou China-Malaysia (CMQIP) di Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi merupakan sebahagian daripada model kerjasama ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ antara China dan Malaysia. Lebih penting, model tersebut adalah contoh nyata bagi kemampuan pelaburan China yang telah berkembang di Malaysia, dan telah membantu memperkuat hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Situasi menang-menang
China merupakan salah satu sumber pelaburan asing terbesar di Malaysia. Memetik laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pada tahun lalu, China melaburkan sebanyak RM28.2 bilion (AS$6.4 bilion) di Malaysia, iaitu 16 peratus daripada hasil pelaburan asing Malaysia yang bernilai RM170.4 bilion.
Angka tersebut secara tidak langsung menyaksikan peningkatan hampir dua kali ganda daripada RM14.5 ringgit pada 2023, dan dijangka mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan baharu.
Konsul pelaburan sementara di Konsulat Malaysia di Guangzhou, Safwan Nizar Johari berkata bahawa pada beberapa tahun lalu, banyak pelaburan China telah tertumpu dalam kenderaan elektrik (EV), bateri dan industri-industri berkaitan.
Katanya, kedua-dua negara meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 pada 2024, dan hubungan diplomatik yang kuat. itu telah membuatkan syarikat China lebih yakin untuk melabur di Malaysia.
Safwan berkata, pelaksanaan dasar mesra perniagaan Malaysia termasuk insentif cukai, pemilikan ekuiti asing sebanyak 100 peratus dan visa kerja jangka panjang untuk ekspatriat telah menarik banyak pelabur asing.
Sama seperti China, Malaysia juga merupakan negara anggota bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), iaitu pakatan perdagangan bebas terbesar di dunia. Sebagai anggota ASEAN, Malaysia juga adalah sebahagian daripada Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN.
Populasi Malaysia yang berbilang kaum juga merupakan salah satu faktor utama kedatangan pelabur China. Kaum Cina terdiri daripada kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia yang berjumlah 35 juta orang, dan mereka turut bertutur beberapa bahasa termasuk Melayu, Cina, dan Inggeris.
“Ini menyumbang kepada keputusan syarikat China untuk memilih destinasi pelaburan di ASEAN,” ujar Safwan.
“Ketika memilih Malaysia, mereka berasa seolah-olah berada di negara sendiri yang mereka selesa untuk mendirikan perniagaan di Malaysia,” katanya kepada China Daily.
Sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini, Safwan berkata bahawa Malaysia mengalu-alukan syarikat China dan syarikat asing lain untuk melabur di Malaysia sebagai pintu masuk kepada ASEAN.
“Tema ASEAN pada kali ini adalah keterangkuman dan kemampanan. Jadi, ia selari dengan objektif utama kami untuk menjemput dan menarik syarikat asing agar datang ke melabur negara kami, dan menjadikan Malaysia sebagai hab yang bukan sahaja untuk memasuki pasaran tempatan, malah untuk eksport secara global,” ujar Safwan, sambil menyatakan Malaysia menolak amalan permainan campur tolak.
“Kami percaya bahawa ini adalah senario menang-menang. Apabila mereka (syarikat asing) melabur di Malaysia, kami mahu berkembang bersama-sama dengan negara ASEAN yang lain. Ini adalah faktor mengapa kami menjadikan Malaysia sebagai hab (serantau) dan berkembang lebih jauh ke negara lain,” tambah beliau lagi.
Daniel Chua, naib presiden kanan GP Energy Tech International iaitu anak syarikat kepada pengilang bateri, Gold Peak Technology Group, turut senada dengan Safwan.
Gold Peak adalah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Hong Kong, dan mempunyai tiga kilang pembuatan di Johor, negeri di selatan Malaysia.
Pada 19 Februari, syarikat itu telah mengemukakan surat tunjuk minat untuk kepada Invest Johor, iaitu agensi promosi pelaburan utama kerajaan negeri Johor. Dalam surat itu, syarikat tersebut telah menyatakan hasrat untuk membina fasiliti pembuatan bateri berasaskan nikel serta pusat pembangunan dan penyelidikan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura atau JS-SEZ yang bernilai AS$150 juta.
Chua berkata, ketika Gold Peak melabur di Malaysia, mereka telah memperkenalkan teknologi baharu, membuka peluang pekerjaan dan menyumbang kepada pembangunan serantau. Syarikat itu juga mengambil pekerja untuk pelbagai jawatan, dengan kebanyakannya dalam kapasiti profesional, pengurusan dan eksekutif. Malah, projek baharu tersebut juga dijangka mewujudkan sejumlah 180 pekerjaan baharu.
Gold Peak adalah salah satu daripada banyak syarikat China yang telah melabur di negara ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara itu selama lebih 20 tahun sebagai sebahagian daripada perancangan untuk melebarkan sayapnya di peringkat global.
Antara pelabur terawal di Malaysia adalah Huawei, yang memasuki pasaran Malaysia pada 2001, manakala ZTE pula tiba pada 2004. Sehingga ke hari ini, Malaysia kekal menjadi penting bagi operasi perniagaan kedua-dua syarikat antarabangsa tersebut.
Kuala Lumpur adalah tempat terletaknya ibu pejabat rantau Asia Pasifik syarikat Huawei, selain merupakan pusat solusi dan teknikal global, serta pusat inovasi solusi pelanggan Huawei. Pada 18 Februari di Kuala Lumpur, Huawei telah melancarkan MateXT, iaitu telefon pintar pertama di dunia yang boleh dilipat tiga.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Aziz berkata sebanyak 95 peratus peralatan 5G ZTE termasuk cip adalah dari Malaysia, sekali gus membuktikan kepentingan Malaysia dalam operasi global ZTE.
Dalam satu muat naik hantaran di media sosialnya, beliau menyatakan ZTE merancang untuk melabur sebanyak RM200 juta di Malaysia untuk membina dua pusat inovasi, dan membawa teknologi 5G terkini menerusi kolaborasi dengan operator tempatan.
Pelaburan Automotif
Pada 2015, China Railway Rolling Stock Corporation membuka pangkalan pembuatan luar negaranya yang pertama di negeri Perak, Malaysia. Terletak di kompleks seluar 20.2 hektar, pangkalan tersebut mampu menghasilkan sehingga 200 gerabak kereta api setiap tahun, dan menyediakan pekerjaan baharu buat komuniti tempatan dengan lebih daripada 80 peratus pekerjanya adalah warga tempatan.
Pada 2017, Geely Holding Group yang berasal dari Hangzhou, Provinsi Zhejiang telah memperoleh 49.9 peratus pegangan saham dalam syarikat kereta kebangsaan Malaysia untuk mentransformasinya kepada jenama kenderaan utama di Malaysia, dan salah satu jenama unggul di ASEAN.
Pada Disember 2024, Geely dan rakan konglomerat dari Malaysia, DRB-Hicom telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MIDA untuk membangunkan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif di Tanjong Malim Perak, bagi mempromosi Malaysia sebagai hab ASEAN untuk kenderaan elektrik (EV).
Mengikut laporan media tempatan, dua bulan selepas itu, Proton mengumumkan bahawa pada 7 Februari, ia telah memulakan pembinaan pangkalan penghasilan EV baharu di Tanjong Malim. Projek bernilai RM82 juta itu dijangka akan disiapkan menjelang penghujung tahun ini, dan akan mengeluarkan beberapa model termasuk Proton e. MAS 7, iaitu kereta EV pertama yang dihasilkan oleh syarikat Malaysia.
Presiden Pusat Penyelidikan Strategi Asia Pasifik, Chin Yew Sin berkata bahawa pelaburan China di Malaysia mencerminkan perkongsian rapat yang berakar umbi di dalam kelebihan strategik, ekonomi dan kebudayaan.
Katanya, syarikat-syarikat China telah memanfaatkan persekitaran Malaysia yang mesra pelaburan dan masyarakat dengan pelbagai kaum. Pada tahun-tahun mutakhir ini, China berkata bahawa kepelbagaian rantai bekalan serantau dan global serta penggunaan strategi ‘China+1’ telah memacu kedatangan besar-besaran pelaburan ke Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.
Bagi Ian Yoong Kah Yin, pelabur ekuiti swasta di Malaysia, tujuan utama untuk mempelbagaikan pelaburan di Malaysia adalah untuk berusaha ke arah strategi ‘China+1’, iaitu mengekalkan pengeluaran di China sambil membina fasiliti tambahan di negara-negara lain.
Yoong turut mengalu-alukan kesemua pelaburan tersebut, dengan menyifatkan kehadiran syarikat China sebagai mendorong peralihan kemahiran dan menjadi teladan bagi rakyat Malaysia dalam menghasilkan perniagaan bertaraf dunia.
Foto fasiliti pembuatan Alliance Steel sedang beroperasi di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China di Pahang, Malaysia pada 13 Jun 2024. (Xinhua/Cheng Yiheng)
- Presiden Xi Jinping Tiba di Kuala Lumpur, Disambut Hangat
- Xi Tiba di Malaysia untuk Lawatan Rasmi
- Presiden Xi Tiba di Kuala Lumpur
- Menara Exchange 106, Mercu Tanda Kerjasama BRI China-Malaysia
- Malaysia Madani Selari Dasar Pentadbiran Xi - PM Anwar
- Anwar Puji Usaha Xi Martabatkan Warisan Budaya dalam Pentadbiran Negara
- Malaysia, China Seiringan Tingkat Peluang Ekonomi dan Perdagangan - PM Anwar
- Selepas 50 Tahun, Hubungan Malaysia dan China Terus Diperkukuh – PM Anwar
- Lawatan Negara Xi Jinping, Kemuncak Persahabatan Malaysia-China – PM Anwar
- Masyarakat Malaysia Nantikan Lawatan Rasmi Presiden Xi