Pengeksport China Terus Adaptasi dan Berkembang Meski Dihimpit Tarif

Foto memperlihatkan bengkel pintar Syarikat Xinxiang Chemical Fiber. (Foto oleh China Textile News)

Foto memperlihatkan bengkel pintar Syarikat Xinxiang Chemical Fiber. (Foto oleh China Textile News)

Susulan daripada tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif drastik terhadap import China, pengeksport dari Provinsi Henan di tengah China turut terkesan, namun tidak berdiam diri.

Di Xinxiang, sebuah hab pengeluaran di utara provinsi itu yang sinonim dengan penghantaran barangan di serata dunia kini sedang menavigasi persekitaran perdagangan yang lebih bergelora. Berbanding dengan melakukan tindakan berundur, pengeluar maju ke hadapan, mencari pasaran baharu dan menggandakan usaha inovasi.

“Berniaga dengan AS sudah tentu menjadi lebih sukar,” demikian ujar rata-rata ketua syarikat di situ.

Sebagai contoh, Xinke Protective, perusahaan didorong eksport tipikal yang khusus dalam baju kerja pelindung, mengeksport lebih daripada 90 peratus produknya ke Eropah dan Amerika Utara. Pada suku pertama tahun ini, syarikat tersebut menyaksikan pendapatannya jatuh sebanyak 30 peratus berbanding tempoh sama tahun 2024.

Frestec, pembuat peti sejuk yang berpangkalan di Henan, telah menghantar produknya ke lebih daripada 70 negara dan wilayah pada tahun-tahun mutakhir.

Namun demikian, Yang Qinhe, timbalan pengurus besar syarikat itu berkata bahawa kedatangan 2025 telah membawa kepada peningkatan mendadak terhadap ketidaktentuan luaran, sekali gus menjadikan pasaran luar negara syarikat itu bertambah kompleks.

Bagaimanapun, di sebalik ketidaktentuan yang semakin meningkat, tiada satu pun syarikat yang menunjukkan tanda-tanda cemas.

“Kami kekal optimistik terhadap pesanan yang bakal diterima pada separuh kedua tahun ini,” ujar Xie Li, pembantu pengerusi Xinke Protective, sambil menambah bahawa ia bukan kali pertama mereka melalui situasi yang sedemikian.

Apabila AS mengenakan tarif terhadap barangan China pada 2018, pesanan yang diterima Xinke menjunam, dan hanya kembali pulih setelah berbulan lamanya, selepas pelanggan dari AS datang semula.

“Kualiti dan harga (yang kami tawarkan) masih masuk akal meskipun dengan tambahan kos,” jelas Xie.

Bagi mengekalkan kesemua pelanggan itu, pengerusi syarikat itu baru-baru ini telah ke AS untuk bercakap secara bersemuka, manakala pasukan lain pula telah ke Timur Tengah, Amerika Selatan dan Rusia untuk mencari pembeli baharu.

Foto menunjukkan robot kimpalan yang dibangunkan oleh Syarikat Henan Winner Vibrating Equipment. (Foto oleh akaun WeChat rasmi DaHe Fortune Cube)

Foto menunjukkan robot kimpalan yang dibangunkan oleh Syarikat Henan Winner Vibrating Equipment. (Foto oleh akaun WeChat rasmi DaHe Fortune Cube)

Kisah yang lebih kurang sama turut berlaku di Weihua Group, iaitu salah satu pembuat kren di Xinxiang. Syarikat itu telah mengambil lebih daripada 300 individu yang bertanggungjawab untuk jualan di luar negara sejak Oktober lepas, iaitu tiga kali ganda daripada angka asal yang disasarkan.

“Kami tidak boleh kawal situasi global, tapi kami boleh jadi proaktif,” ujar Naib Presidennya, Ding Haiyang, sambil berkata bahawa banyak eksekutif syarikat itu kini berada di luar negara dan sedang berunding untuk mencapai kesepakatan.

Perubahan landskap perdagangan telah memperdalam keazaman syarikat itu untuk memperluas capaian globalnya.

Syarikat tekstil, Xinxiang Chemical Fiber pula telah menghantar pasukan untuk ke pameran perdagangan di Indonesia dan Bulgaria, sekali gus menyesuaikan tawaran mereka dengan mengikut cita rasa setempat.

“Pembeli mempunyai harapan yang tinggi terhadap tekstur fabrik, jadi kami membangunkan yarn leper yang tersuai,” kata Zhang Jiaqi, timbalan pengurus besar syarikat itu, sambil berkata bahawa tindakan itu telah menerima sambutan baik.

Pembuat barangan berkait kenderaan, Syarikat Yubei Steering System (Xinxiang) pula telah mengambil langkah untuk melakukan tinjauan ke atas tapak-tapak kilang di luar negara.

Zhong Lijie, timbalan pengurus besar syarikat tersebut berkata bahawa tindakan untuk pergi ke arah global kini bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan satu kemestian.

Langkah-langkah yang diambil oleh pengeksport Henan secara tidak langsung memperlihatkan bahawa mereka telah bersedia untuk melalui ketidaktentuan dan mempunyai jalan keluar.

“AS bukan satu-satunya pasaran kami. Eropah, Asia Tenggara, dan Amerika Selatan sarat dengan potensi. Cuma kami tidak memberi keutamaan kepada mereka sebelum ini,” kata seorang usahawan.

Meskipun begitu, luar negara bukanlah satu-satunya jalan keluar.

Laporan kerja kerajaan China pada tahun ini menekankan tentang keperluan untuk mengatasi isu permintaan tempatan yang tidak mencukupi, khususnya dalam penggunaan yang tidak cukup, serta menjadikan permintaan domestik sebagai enjin utama dalam pertumbuhan ekonomi.

Di Syariakt Henan Winner Vibrating Equipment, permintaan domestik telah muncul sebagai enjin pertumbuhan yang tidak disangka-sangka. Robot kimpalan kegunaan dalaman syarikat itu telah mencuri perhatian pelanggan tempatan selepas pekerja syarikat itu memuat naik video secara dalam talian. Sejak memasuki pasaran pada 2021, penjualan robot itu mencanak naik sebanyak hampir 30 kali ganda.

Syarikat pengilang makanan, Henan Aoukun turut menyasarkan pelanggan China, yang dilihat mementingkan gaya pemakanan sihat.

“Kami sedang membangunkan produk dengan kandungan gula dan lemak yang rendah, tetapi tinggi dalam serat,” kata pengurus besarnya, Tang Lei.

Dalam pada usaha syarikat yang cuba untuk menginovasi dan mengadaptasi, kekhuatiran tetap ada. Beberapa ketua perniagaan telah menyeru untuk menolak persaingan berlumba-lumba mengejar dengan memberikan harga dan kualiti yang rendah.

“Kita perlu berhenti bergaduh untuk wang. Kita hanya boleh mengekalkan kemampanan industri dengan bekerjasama dan memfokuskan terhadap R&D,” kata Xie Li.

Video

Berita Berkaitan