Canton Fair ke-137 Labuh Tirai, Jumlah Pembeli Luar Negara Perbaharui Rekod (6)

Canton Fair ke-137 Labuh Tirai, Jumlah Pembeli Luar Negara Perbaharui Rekod
Pembeli memilih produk kosmetik di Pameran Import dan Eksport China ke-137 di Guangzhou, Provinsi Guangdong di selatan China pada 5 Mei 2025. Turut dikenali sebagai Canton Fair, acara itu melabuhkan tirainya pada Isnin, dengan pihak penganjur mengumumkan penyertaan pembeli luar negara melebihi 288,000 orang. (Xinhua/Huang Guobao)

Pameran Import dan Eksport China yang turut dikenali sebagai Canton Fair melabuhkan tirainya pada Isnin di Provinsi Guangdong, selatan China, dengan pihak penganjur mengumumkan jumlah penyertaan pembeli antarabangsa melebihi 288,000 orang.

Difahamkan, ia memperlihatkan kenaikan sebanyak 17.3 peratus berbanding edisi yang terdahulu, sekali gus memperbaharui rekod. Menurut penganjur, terdapat seramai 171,750 peserta baharu, manakala pembeli daripada negara kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan pula direkodkan sejumlah 187,450 orang, iaitu peningkatan 17.4 peratus dari tahun ke tahun, dan mewakili sebanyak 64.9 peratus daripada keseluruhan pembeli luar negara.

Antara lain, turut diumumkan bahawa hasrat transaksi eksport di tapak direkodkan sebanyak AS$25.44 bilion, meningkat 3 peratus berbanding dengan edisi yang ke-135. Pada masa sama, lebih daripada 60 peratus transaksi tersebut melibatkan negara kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan, secara tidak langsung menekankan tentang peranan pentingnya sebagai peneraju pertumbuhan perdagangan.

Selain itu, Canton Fair edisi kali ini juga telah menampilkan 4.55 juta pameran, termasuk 1.02 juta produk baharu, 880,000 produk rendah karbon dan hijau, serta 320,000 produk pintar.

Zon perkhidmatan robotik yang buat julung-julung kalinya dipamerkan muncul sebagai tarikan utama acara itu, dengan 46 pengilang China memperkenalkan 500 robot termaju meliputi 60 aplikasi perindustrian.

Dianjurkan pertama kalinya pada 1957, Canton Fair diadakan sebanyak dua kali setahun di Guangzhou, dan dianggap sebagai barometer kepada perdagangan asing China.

Video

Berita Berkaitan