Rel China-Laos Rangsang Pertumbuhan Eksport Tani Laos

Rel China-Laos Rangsang Pertumbuhan Eksport Tani Laos
Gambar ini memperlihatkan sebuah kren mengangkat kontena di Stesen Kereta Api Selatan Vientiane, Laos. (People’s Daily Online/Liu Yingjia)

Kereta Api China-Laos telah mengangkut sekitar 156,000 tan ubi kayu dalam empat bulan pertama tahun ini, suatu pertambahan sebanyak 43 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. Perkembangan ini jelas menampakkan peranan sistem rel tersebut yang semakin ketara dalam memudahkan kegiatan eksport pertanian Laos.

Setakat 14 Mei, rel tersebut telah mengangkut 5,750 kontena ubi kayu, menurut laporan yang diumumkan oleh Laos-China Railway Co., Ltd. pada Khamis.

Bagi merangsang eksport pertanian dan menyokong pertumbuhan ekonomi Laos, rel tersebut telah menjadikan pengangkutan produk pertanian Laos sebagai keutamaan. Mereka menawarkan sokongan penuh kepada operator mengikut permintaan, tanpa mengira saiz kiriman.

Antara langkah lain yang turut diambil termasuk menambah baik pengurusan logistik, meningkatkan bilangan laluan tren yang khusus untuk hasil tani, dan menjalin kerjasama rapat dengan pihak berkuasa sempadan untuk membentuk sebuah mekanisme koordinasi yang kemas. Usaha ini telah membantu memendekkan prosedur kastam dan masa pemprosesan, sekali gus memastikan produk pertanian Laos dieksport dengan pantas dan cekap.

Sejak pelancarannya, Kereta Api China-Laos telah menjadi laluan yang cukup efisien bagi pengeksportan produk pertanian dari Laos dan rantau sekitar ke China. Dengan jaminan keselamatan, kos pengangkutan rendah, masa penghantaran yang singkat dan kemudahan pada keseluruhannya, rel berkenaan memenuhi keperluan pengeksport dan memainkan peranan yang mustahak dalam mendorong pengeksportan pertanian.

Gambar ini memperlihatkan sebuah kren mengangkat kontena di Stesen Kereta Api Selatan Vientiane, Laos. (People’s Daily Online/Liu Yingjia)

Video

Berita Berkaitan