Majlis Perasmian Dan Makan Malam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa Dan Budaya Melayu-China Kelima Diadakan

Usaha pengembangan dan pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China terus dipergiatkan lagi dengan penganjuran Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu Ke-Lima (SATBBMC V) anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Beijing Foreign Studies University (BFSU). Majlis perasmian dan makan malam yang dihoskan oleh Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB), Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China telah dirasmikan oleh TYT Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke China dan dihadiri oleh seramai 200 tetamu yang terdiri daripada para Sarjana dari Malaysia, China, Jepun dan beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Thailand dan Singapura.

Duta Besar Malaysia ke China, TYT Dato’ Norman Muhamad memberi ucapan dalam majlis perasmian dan makan Malam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa Dan Budaya Melayu-China Kelima. (People's Daily Online/Wang Jing)

Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, Duta Besar Malaysia berharap agar Bahasa Melayu dapat diperluaskan penggunaannya di rantau ASEAN dalam mengukuhkan hubungan persahabatan, pendidikan, perdagangan dan pertukaran budaya. Di samping itu, menerusi ucapan beliau turut menyarankan agar fakulti pembelajaran bahasa perlu mengambil peluang penggunaan Kecerdasan Buatan atau “AI” untuk menjadikan proses pembelajaran sesuatu bahasa itu lebih interaktif, efisyen dengan akses yang lebih meluas. Ini akan merancakkan minat para pelajar untuk mendalami dan menguasai sesuatu bahasa dengan mudah dan lebih berkesan.

Manakala, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Professor Dr. Azlinda Azman menerusi ucapan rakaman awal beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) sedang memperhalusi calon-calon yang sesuai untuk ditempatkan sebagai pemegang Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU tersebut, dan percaya calon yang bakal ditempatkan kelak memegang amanah yang sangat penting dalam memastikan aktiviti pengembangan dan memperkasakan Bahasa Melayu di China terus proaktif dengan program-program berimpak dan bermanfaat kepada kedua-dua buah negara, Malaysia dan China.

 TYT Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke China menyampaikan sumbangan majalah dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka kepada 11 buah universiti yang menawarkan pengajian Melayu di China. (foto ihasan Kedutaan Malaysia ke China)

Dalam majlis tersebut, Duta Besar Malaysia telah melancarkan buku berjudul 'Selongkar Budaya, Bahasa dan Sosiologi dalam Terjemahan China-Melayu' yang menghimpunkan karya-karya penulis dari Malaysia dan China. Di samping itu, beliau turut menyampaikan sumbangan majalah dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka kepada 11 buah universiti yang menawarkan pengajian Melayu di China dan 6 universiti dari negara ASEAN yang hadir.

 TYT Dato’ Norman Muhamad, Duta Besar Malaysia ke China menyampaikan sumbangan majalah dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka kepada 6 universiti dari negara ASEAN yang hadir. (People's Daily Online/Wang Jing)

Majlis makan malam telah diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh mahasiswa-mahasiswa Malaysia di Beijing, pelajar-pelajar China yang sedang mengikuti pengajian Melayu di BFSU serta wakil Kedutaan Besar Malaysia, sekaligus memperlihatkan solidariti semua pihak dalam usaha mempromosi bahasa dan budaya Melayu.

Majlis turut dihadiri oleh Prof. Zhao Gang, Timbalan Presiden BFSU, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, dan Lim Chuan Boon, Pesiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia.

Video

Berita Berkaitan