- Lain-lain
Berkongsi Kisah, Semarakkan Semangat Jalan Sutera
Majlis Persahabatan Jalan Sutera keempat diadakan di Kuqa, kawasan Aksu, wilayah autonomi Uygur Xinjiang pada 28 Mei lalu. Sebanyak 11 individu dan kumpulan dari merata dunia telah dianugerahi gelaran kehormat Duta Persahabatan Jalan Sutera pada majlis tersebut.
Bersama duta-duta lalu serta individu yang berminat akan Inisiatif Jalur dan Laluan, mereka berkongsi kisah-kisah menyentuh perasaan mengenai penglibatan dalam BRI dan pertukaran budaya.
Kisah-kisah yang dikongsi menonjolkan aspek kesinambungan peradaban manusia. Andrei Chevelev, pakar dari UNESCO, telah mengikat persahabatan yang mendalam dengan China. Datuknya seorang ahli kimia yang datang ke China untuk membantu pembangunan industri farmaseutikal. Selepas melibatkan diri dalam PBB, Chevelev dengan aktifnya mendorong penyenaraian projek “Jalan Sutera: Jaringan Laluan Koridor Chang’an-Tianshan” dalam Senarai Warisan Dunia, sekali gus menjadikan Jalan Sutera sebuah jambatan penghubung dialog antara tamadun. Pada 2024, beliau dianugerahi Hadiah Persahabatan Kerajaan China.
Tahun-tahun kebelakangan ini, Xinjiang telah mengintensifkan usaha untuk mengundang kedatangan sahabat serta modal dari luar negara sambil menggalakkan penduduk dan syarikat tempatan menempa nasib di pasaran global, dengan niat untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang Xinjiang di samping menyokong pembinaan bersama Jalur dan Laluan.
Kisah-kisah tersebut juga menjadi cerminan interaksi ketamadunan yang makin mantap. Ignacio de la Rasilla, sarjana undang-undang antarabangsa dari Sepanyol, datang ke China mengejar konsep komuniti berkongsi masa depan sesama insan. Merancakkan interaksi antara sarjana perundangan China dan luar menjadi fokus usahanya.
Ameen Muneer Mohammed Al-Obaidi, seorang jurnalis dari Iraq, datang ke China berbekalkan ideal untuk mendorong pertukaran dan saling belajar antara peradaban. Kerana tekadnya ini, dia menjadi duta persahabatan Iraq-China, malahan suara galakan kerjasama dalam pembinaan bersama Jalur dan Laluan.
Perkongsian peluang pembangunan, satu lagi aspek yang ditonjolkan daripada kisah-kisah yang dikongsi. Wendy Kasambi Kagendo dari Kenya, di bawah bimbingan “mentor China", menjadi salah seorang pemandu lokomotif wanita pertama negaranya, dan kemudiannya bertugas sebagai penjadual kereta api. Khidmatnya menyumbang kepada keselamatan operasi Rel Mombasa-Nairobi.
Taghiyev Asaf dari Azerbaijan, belajar di China. Selepas Inisiatif Jalur dan Laluan disarankan, dia mengelola pelaksanaan projek kerjasama bernilai berbilion yuan selaku wakil Zon Pembangunan Nasional Baku di China.
Merentas gunung, meredah lautan – begitulah ibaratnya usaha seiringan yang dikisahkan. Jose Carlos Olivas Anguiano, seorang doktor dari Mexico, telah memperkenalkan teknologi perubatan China yang membawa faedah kepada pesakit di negaranya.
Mohamed Jihad Mohamed Moustafa, belia warga Mesir, mendorong pertukaran budaya China-Mesir, memanjangkan kisah-kisah tentang China kepada lebih ramai orang.
Chea Munyrith, sarjana Kemboja, menghidupkan pendidikan bahasa Cina selain mengasaskan Persatuan Penyelidik Evolusi Bahasa Cina Kemboja.
Pada majlis penyampaian anugerah berkenaan, beberapa persembahan kesenian termasuk tarian rakyat yang memenangi “Hadiah Lotus” Tarian China ke-14 berjudul "Grandfather's Samovar" serta lagu-lagu rakyat tempatan. Acara turut menyaksikan pelancaran laluan pelancongan "Silk Road Treasures: Thousands years story Qiuci", pemulaan sistem perkhidmatan melancong dengan memandu sendiri di Xinjiang, dan pengumuman keputusan Pertandingan Rekaan Budaya dan Kreatif "Encountering Qiuci".