- Lain-lain
Kereta Terbang Kini Ke Udara di China
Modul udara ‘Pengangkut Pesawat Dasar’ yang dibangunkan oleh XPeng AeroHT, iaitu anak syarikat milik pembuat kereta elektrik China, XPENG, telah melakukan penerbangan demonstrasi di Peranginan Pelancong Tasik Liuye di Changde, Provinsi Hunan, tengah China pada 27 Mac 2025. (Xinhua/Chen Sihan)
Kereta terbang mencuri tumpuan ramai semasa berlangsungnya Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai 2025 (Auto Shanghai 2025) yang melabuhkan tirainya pada Isnin, sekali gus memberi sekilas pemandangan tentang masa depan pengangkutan dan meninggalkan ramai penonton terpesona.
Definisi kereta terbang telah berevolusi pada tahun-tahun mutakhir ini dan kini telah berkembang merangkumi pesawat berlepas dan mendarat elektronik menegak (eVTOL).
Minat terhadap kereta terbang juga telah meningkat pada tahun ini, didorong oleh pembangunan pesat dalam penerbangan, kenderaan tenaga baharu, teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI).
Sektor kereta terbang domestik China telah berjaya membina asas perindustrian yang kukuh, mendapat manfaat daripada kelebihan dalam inovasi teknologi dan kemampuan peralatan, seterusnya menjadikan cita-cita kereta terbang satu realiti secara berperingkat-peringkat.
Pada 18 Mei, di dalam makmal Institut Sistem Kawalan Enjin Aero AECC di Wuxi, Provinsi Jiangsu, timur China, sebuah motor berputar pantas pada sebuah bangku ujian. Seiring dengan kelajuan bertambah, penderia akan menunjukkan kenaikan yang stabil dalam suhu dalaman, namun motor terus berfungsi normal.
Motor pendorongan bersepadu generasi baharu ini yang dibangunkan secara sepenuhnya oleh institut tersebut direka bentuk untuk menggerakkan model eVTOL elektrik tulen seberat 2 hingga 3 tan.
GOVY AirCar, kereta terbang berbilang rotor yang dikeluarkan secara besar-besaran oleh GAC Group, dipamerkan di Auto Shanghai 2025, 26 April 2025. (Foto oleh Wang Yushi)
“Produk ini telah dipasang pada eVTOL rotor menyenget seberat 3 tan domestik pada tahun lepas, dan prototaip itu berjaya disiapkan dengan penerbangan ujian tertambat,” kata Bai Wenfeng, pengurus besar jabatan kuasa elektrik institut itu.
Sementara itu, Chen Fei, pengarah operasi jabatan kuasa elektrik institut itu menyatakan bahawa pasaran eVTOL China diunjur akan mencecah RMB50 bilion yuan (AS$6.9 bilion) menjelang 2030, mewujudkan permintaan kukuh untuk motor dan sistem kawalan.
Memetik laporan kertas putih oleh Persatuan Jurutera Automotif China, kereta terbang akan mula memasuki fasa pertama pengkomersialan pada 2025. Menjelang tahun 2035, eVTOL pintar dijangka digunakan pada skala besar dan menjadi kaedah utama dalam pengangkutan beraltitud rendah.
Menjelang 2050, kereta terbang amfibia yang berkemampuan beroperasi di darat dan udara itu dijangka untuk digunakan secara meluas, mengintegrasikan pengangkutan darat dan altitud rendah sebagai sebahagian daripada sistem transit pintar tiga dimensi.
Untuk rekod, eVTOL pelbagai rotor yang tradisional bergantung kepada motor elektrik. Namun demikian, meskipun bateri boleh menggerakkan kenderaan elektrik untuk sejauh lebih 500 kilometer, ia hanya boleh menampung penerbangan selama 20 minit buat eVTOL yang membawa satu atau dua penumpang. Bagi mengatasi masalah kekangan tersebut, pasukan penyelidik China sedang menerokai pelbagai laluan teknologi baharu.
Kunpeng No. 1 dari Southeast University, sebuah kereta terbang yang dibangunkan di Provinsi Jiangsu, menggunakan bateri kuasa bersama-sama dengan sistem pendorong elektrik jarak jauh.
Berbanding dengan kenderaan yang hanya dikuasakan oleh bateri, sistem ini memberikan lebih kuasa, julat yang lebih panjang dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi. Ia boleh memanjangkan masa penerbangan daripada hanya 20 minit kepada lebih daripada dua jam. Teknologi ini dijangka akan digunakan dalam kereta terbang generasi akan datang.
Projek demonstrasi kereta terbang Hainan dilancarkan di Haikou, Provinsi Hainan, selatan China, pada 21 Jan 2025. (Foto oleh Su Bikun)
XPeng AeroHT, anak syarikat pembuat kenderaan elektrik China Xpeng, telah membangunkan ‘pengangkut pesawat darat’, sebuah kereta terbang yang terdiri daripada dua bahagian iaitu modul darat dan modul udara.
Modul darat beroperasi sebagai kenderaan elektrik, manakala modul udara ialah eVTOL, iaitu sebuah kapal terbang dengan enam kipas yang boleh dilipat dan disimpan apabila tidak digunakan.
“Modul darat ialah kenderaan elektrik jarak jauh yang boleh bergerak sehingga 1,000 kilometer. Dengan cas penuh, ia boleh mengecas semula modul udara sehingga enam kali,” ujar wakil XPeng AeroHT.
Didorong oleh penemuan teknologi dan dasar yang menyokong, pasaran kereta terbang bersedia untuk menyaksikan pertumbuhan yang ketara.
Memetik laporan dari Persekutuan Ekonomi Altitud Rendah China, negara Tembok Besar itu mampu mempunyai lebih daripada 100 syarikat kereta terbang menjelang 2030, dengan pasaran berpotensi melepasi RMB1 trilion.
“Peluangnya sangat besar”, kata Zhao Shangbin, pengurus akaun utama bahagian timur China di GAC Business Co.
Baru-baru ini, Sichuan Aerofugia Technology Development Co. dan Sichuan General Aviation Investment Management Co., anak syarikat Sichuan Airlines Group telah mengecapi satu kejayaan apabila kedua-duanya menandatangani perjanjian kerjasama strategik.
Difahamkan, kedua-dua syarikat itu akan mengumpulkan sumber mereka untuk membangunkan penyelesaian mobiliti udara bandar, menyepadukan penerbangan awam dengan perjalanan altitud rendah. Antara perkongsian juga adalah termasuk kerjasama dalam ujian penerbangan eVTOL dan penyelenggaraan pesawat.
Kerjasama tersebut adalah yang pertama antara syarikat eVTOL China dan syarikat penerbangan penerbangan awam, secara tidak langsung mewakili satu langkah besar ke arah penggunaan komersial eVTOL.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Saintis Aerofugia, Guo Liang berkata bahawa kedua-dua firma itu merancang untuk menumbuhkan laluan ulang-alik udara secara bersama yang menghubungkan lapangan terbang dengan tengah bandar Chengdu dan kawasan pemandangan yang berdekatan di Provinsi Sichuan.
Jelas beliau, dengan kerjasama itu, jaringan penerbangan pendek juga mampu diwujudkan. Program penerbangan awalan juga akan berkembang secara berperingkat-peringkat untuk meliputi kenderaan penumpang, penyelamatan kecemasan dan pelancongan beraltitud rendah, sekali gus memperluas capaian kereta terbang.
Pengangkut Pesawat Darat XPeng AeroHT menyelesaikan penerbangan sulungnya semasa satu upacara di Changde, Provinsi Hunan di tengah China pada 27 Mac, yang membuka satu lagi prospek baharu buat pelancongan dan kenderaan beraltitud rendah.