China Lancar Kempen Promosi NEV di Kawasan Luar Bandar

Pengunjung melawat reruai BYD semasa Pameran Auto Antarabangsa Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau di Shenzhen, Provinsi Guangdong, selatan China pada 31 Mei 2025. (Xinhua/Liang Xu)

Pengunjung melawat reruai BYD semasa Pameran Auto Antarabangsa Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau di Shenzhen, Provinsi Guangdong, selatan China pada 31 Mei 2025. (Xinhua/Liang Xu)

China kini sedang menerokai usaha untuk melonjakkan penggunaan kenderaan tenaga baharu (NEV) di luar bandar negara itu dengan usaha yang dipercepatkan untuk menambah baik persekitaran sokongan bagi penggunaan golongan di kawasan itu, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut surat pekeliling yang dikeluarkan secara bersama oleh lima jabatan kerajaan pada Selasa termasuk Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat serta Kementerian Perdagangan, aktiviti kempen promosi untuk NEV akan dilaksanakan di beberapa kaunti yang kadar penembusan EV-nya rendah tetapi memiliki potensi penggunaan yang besar.

Sebagai sebahagian daripada kempen promosi, model NEV yang sesuai untuk penggunaan luar bandar, mempunyai reputasi baik dan terkenal dengan kualiti yang boleh dipercayai akan dipilih untuk dipamerkan. Aktiviti seperti pameran dan pandu uji juga akan turut disediakan.

Lapor Xinhua, sejumlah 124 model NEV termasuk kedua-dua EV dan hibrid akan menjadi sebahagian daripada kempen promosi, menampilkan kenderaan daripada pengeluar seperti BYD, Geely, GAC Aion dan Xpeng, selain Tesla Model 3 dan Model Y.

Syarikat perkhidmatan baik pulih dan penyelenggaraan selepas jualan NEV, penyedia perkhidmatan pertukaran bateri dan pengecas kereta elektrik serta syarikat perkhidmatan kewangan juga akan ditampilkan pada kempen tersebut, dengan objektif untuk mengoptimumkan persekitaran sokongan dalam penggunaan NEV di kawasan luar bandar.

Difahamkan, syarikat kereta juga digalakkan untuk memperbanyak model NEV dan menambah baik perkhidmatan masing-masing untuk menerokai potensi penggunaan di bahagian desa China.

Pengeluar NEV, penjual kereta, syarikat perkhidmatan kewangan serta penyedia perkhidmatan selepas jualan dan pengecas elektrik juga digalakkan untuk menawarkan ‘tawaran promosi’ yang mengintegrasikan perkhidmatan merangkumi pembelian kereta, penggunaan kereta dan perkhidmatan selepas jualan kepada pengguna di luar bandar.

Memetik data keluaran Persatuan Pengeluar Automobil China, pengeluaran NEV di China telah melonjak sebanyak 48.3 peratus dari tahun ke tahun, kepada hampir 4.43 juta unit pada empat bulan pertama 2025, dengan jualan menokok sebanyak 46.2 peratus berbanding tahun terdahulu kepada 4.3 juta unit.

Dalam tempoh Januari hingga April lalu, NEV meliputi sebanyak 42.7 peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan baharu di China.

Angka kumulatif kemudahan infrastruktur pengecas di seluruh negara juga telah mencecah hampir 13.75 juta setakat penghujung bulan Mac. Angka tersebut merangkumi 3.9 juta tempat pengecas awam untuk NEV dan 9.85 juta pemasangan pengecas persendirian.

Video

Berita Berkaitan