- Lain-lain
Ladang CBM Terbesar China Capai Batu Tanda Penting
Foto bertarikh 25 Jun 2022 ini menunjukkan para pekerja sedang memeriksa peralatan di bengkel sebuah pangkalan lombong metana lapisan batu arang di kaunti Qinshui, provinsi Shanxi, utara China.(Xinhua/Wang Feihang)
Setakat akhir bulan Mei, ladang metana lapisan batu arang (CBM) berskala besar pertama China iaitu blok Daning-Jixian telah merekodkan pengeluaran gas kumulatif melebihi 3.6 bilion meter padu, menurut makluman pihak pembangunnya. Output ini bersamaan lebih 2.8 juta tan minyak dan gas.
Ini menjadikan ladang di provinsi Shanxi, utara negara itu, yang pertama di China yang mencapai output kumulatif bersamaan minyak dan gas pada paras seumpama, maklum PetroChina Coalbed Methane Co., Ltd.
Sebagai gas asli bukan konvensional, metana lapisan batu arang dianggap sumber tenaga yang bersih dan strategik. Penggunaannya mampu menurunkan risiko berkaitan perlombongan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dan meringankan masalah kekurangan gas.
Shanxi memiliki rizab CBM yang besar, dengan anggaran 8.31 trilion meter padu sumber tersimpan di kedalaman tidak sampai 2,000 meter, iaitu hampir sepertiga jumlah negara.
Tahun-tahun kebelakangan ini, dengan tercapainya pelbagai kemajuan dalam pembangunan teknologi CBM, kapasiti pengeluaran blok Daning-Jixian meningkat secara berterusan.
Pada 2024, ladang tersebut menghasilkan 1.96 bilion meter padu CBM, menjadikannya yang pertama di dunia yang merekodkan output tahunan pada paras bersamaan 2 juta tan minyak dan gas.