Kementerian Luar: Semakin Ramai Kenali China yang Sebenar

Kementerian Luar China menyatakan bahawa semakin lebih ramai orang di seluruh dunia kini mengenali negara Tembok Besar yang sebenar, dengan pelbagai aspek dan dimensinya, lapor agensi berita Xinhua.

Demikian ujar jurucakapnya, Lin Jian, dalam satu sidang media di Beijing, ibu kota China pada Khamis.

Menurut Xinhua, Lin menyifatkan kejayaan itu adalah hasil daripada usaha pembukaan China berterusan, dasar-dasar yang memudahkan kemasukan pelancong, pembangunan berkualiti tinggi dan kemajuan pesat dalam menggalakkan tenaga produktif berkualiti baharu dan pembangunan didorong inovasi.

Difahamkan, beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan penganalisis asing yang mengatakan bahawa teknologi, permainan dan budaya China telah melanda dunia, yang menjadikan negara itu tampak lebih hebat dan menyemarakkan imejnya di luar negara.

“Dari melancong ke China kepada membeli-belah di China, dan dari DeepSeek kepada mainan koleksi, filem dan siri TV yang sangat popular; kini semakin ramai orang di seluruh dunia belajar tentang China dan menjadi lebih rapat dengan negara kita," kata Lin.

Tambahnya, ramai yang turut mendapati bahawa terdapat banyak perkara yang mereka kongsi dengan orang China, dan terdapat banyak cara mereka boleh berhubung secara emosi dengan masyarakat China.

“Ini menunjukkan bahawa mengejar perkara yang baik dan kehidupan yang lebih baik tidak mengenal sempadan atau etnik. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dihalang oleh sesiapa pun.

“Ia juga adalah hasil daripada fakta bahawa China telah dan akan sentiasa menjadi sumber kestabilan dan kepastian dalam dunia yang bergelora dan berubah, membolehkan pembangunan global melalui pemodenan China,” kata Lin.

Beliau turut mengemukakan pendirian bahawa China akan membuka lebih luas kepada dunia, mengembangkan skala inovasi, memperdalam kerjasama untuk berkongsi lebih banyak peluang dan faedah dengan seluruh dunia, serta memberi lebih banyak peluang buat masyarakat dunia untuk melihat dan mengalami China yang lebih hebat.

Video

Berita Berkaitan