- Lain-lain
Acara Pertukaran Antara Rakyat Rentas Selat Terbesar Bukai Tirai
![]() |
Wang Huning, anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China merangkap Pengerusi Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) memberikan ucapan semasa Forum Selat-selat ke-17 di Xiamen, Provinsi Fujian di tenggara China pada 15 Jun 2025. (Xinhua/Yao Dawei) |
Persidangan utama Forum Selat-selat ke-17 telah diadakan di bandar pinggir laut Xiamen, di Provinsi Fujian, timur China, pada Ahad, sekali gus merasmikan pembukaan satu siri acara dalam rangka kerjanya.
Bertemakan ‘mengembangkan pertukaran antara rakyat dan memperdalam pembangunan berintegrasi’, forum tersebut menampilkan 56 aktiviti pertukaran yang meliputi pertukaran ekonomi dan budaya, belia, serta peringkat utama, yang menarik kedatangan lebih 7,000 individu dari segenap lapisan masyarakat di Taiwan.
Wang Huning, anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China telah menghadiri persidangan utama tersebut, dan telah menekankan tentang peri penting untuk kekal teguh dalam menjaga keamanan di seluruh Selat Taiwan dan bersama-sama berusaha untuk mempromosi penyatuan kebangsaan dalam ucapannya.
Menurut beliau, tahun ini adalah ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia, selain pemulihan Taiwan, iaitu peringatan kebangsaan yang dikongsi bersama oleh pihak di kedua-dua Selat.
Wang yang juga merangkap Pengerusi Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) menekankan bahawa hasil kemenangan tersebut harus terus dipelihara.
Beliau berkata, kedua-dua pihak di Selat Taiwan adalah milik China yang satu, serta turut mengulangi kepentingan untuk menjunjung prinsip satu China dan Konsensus 1992, selain menyeru untuk menolak sepenuhnya aktiviti puak pemecah iaitu ‘kemerdekaan Taiwan’ dan gangguan luar, agar bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan Selat itu.
Wang turut menyatakan bahawa tanah besar akan sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada Taiwan dan mempunyai komitmen utuh untuk memperdalam pembangunan berintegrasi kedua-dua belah Selat, agar dapat memberikan Taiwan perasaan sepunya, kegembiraan dan kejayaan yang lebih besar.
Ma Ying-jeou, bekas pengerusi parti Kuomintang China turut menghadiri persidangan utama itu dan berkata bahawa pembangunan hubungan rentas-Selat yang aman adalah aspirasi yang dikongsi bersama oleh kedua-dua pihak.
Beliau juga menzahirkan harapan agar kerjasama dan pertukaran rentas-Selat akan terus diperkukuh, dan ia adalah berdasarkan asas politik yang sama iaitu menjunjung Konsensus 1992 dan menentang ‘kemerdekaan Taiwan’.
Sejak dilancarkan pada 2009, forum itu telah menampilkan hampir 800 acara, menarik kedatangan lebih daripada 350,000 individu dari serata Selat, termasuk lebih 140,000 individu dari rakan senegara Taiwan.
Sebelum forum tahun ini, pihak berkuasa Parti Progresif Demokratik Taiwan telah meningkatkan gangguan mereka terhadap pertukaran rentas-Selat, dengan berulang-kali memburuk-burukkan forum itu, selain cuba menakut-nakutkan dan menghalang rakan senegara Taiwan daripada menyertai program.
Walau bagaimanapun, ramai rakan senegara Taiwan mengatasi masalah itu dan menghadiri acara tersebut, sekali gus mempamerkan keinginan dan rasa tanggungjawab masing-masing untuk melibatkan diri dalam pertukaran dan kerjasama.
“Terdapat banyak jambatan dan ikatan semula jadi antara rakyat di kedua-dua bahagian Selat, dan mereka tidak akan tergugat dek gangguan oleh mana-mana parti politik,” ujar Yu Chi-hsuan, seorang peserta muda dari Taiwan di forum itu yang telah hadir bersama-sama suaminya dari Provinsi Zhejiang.
Sambil menyatakan bahawa ibunya dari Taiwan telah menyertai mereka di forum itu, Yu berkata bahawa ramai rakan-rakan sebayanya berharap untuk dapat ke tanah besar dan menonton wayang seperti blokbuster animasi, ‘Ne Zha’ dan melewati kedai-kedai permainan yang menjadi trend di situ
![]() |
Wang Huning, anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China merangkap Pengerusi Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) bertemu dengan Ma Ying-jeou dan tetamu lain dari Taiwan sebelum Forum Selat-selat ke-17 di Xiamen, Provinsi Fujian di tenggara China pada 15 Jun 2025. Wang turut menyampaikan ucaptama pada forum tersebut. (Xinhua/Yao Dawei) |