- Lain-lain
Reka Bentuk Pingat Sukan Dunia 2025 Chengdu Diumumkan
![]() |
Reka bentuk pingat Sukan Dunia 2025 Chengdu diperkenalkan pada 19 Jun 2025. (Foto ihsan IWGA) |
Reka bentuk pingat Sukan Dunia (TWG) ke-12 yang dijadual untuk berlangsung di Chengdu, pada Ogos, telah diperkenalkan pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
Difahamkan, pingat yang diberi nama ‘Zhuguang’, atau bermaksud ‘cahaya buluh’, dan turut berbunyi seperti ‘mengejar cahaya’ dalam bahasa Mandarin.
Lapor Xinhua, diinspirasikan oleh budaya tempatan dan berakar umbi dalam falsafah perkongsian, reka bentuk pingat menampilkan elemen termasuk motif Burung Matahari Emas dan panda yang ikonik, yakni simbol yang sangat sinonim dengan Chengdu.
Pingat TWG ke-12 antara lainnya turut mempunyai pin yang boleh ditanggalkan pada bahagian tengahnya, yang membolehkan atlet memberikannya kepada individu istimewa masing-masing, sekali gus membawa semangat penghargaan dan hubungan.
Bahagian hadapan pingat berpusatkan pada lambang Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa, dikelilingi oleh nama acara dalam kedua-dua bahasa China dan Inggeris. Diukir dengan garisan kontur pandangan bandar Chengdu dan corak Burung Matahari Emas, reka bentuk tersebut membangkitkan lapisan cahaya, iaitu simbol kepada peradaban China dan semangat kesukanan yang berkekalan.
Pada bahagian belakang, terdapatnya logo rasmi TWG dengan latar belakang yang diinspirasikan oleh buluh, iaitu simbol daya hidup dan integriti budaya China. Ia merupakan reka bentuk buluh segmental, menggabungkan imej ‘Shubao’, maskot panda, dengan matlamat untuk menzahirkan nilai utama TWG iaitu keamanan dan setia kawan menerusi sukan.
Bahagian tengah pada pingat, yang menampilkan pin logam boleh tanggal, adalah bahagian khusus yang unik. Apabila pingat dibuka, sebelah bahagian memperlihatkan ‘Jinzai’, monyet hidung mancung emas asli Sichuan; manakala sebelah lagi menampilkan logo Chengdu 2025 yang dikelilingi oleh Burung Matahari Emas.
Di tengah-tengah pingat itu terletak bunga raya, iaitu bunga bandar Chengdu yang melambangkan persahabatan berkekalan dan semangat mekar sukan China.
Reben pingat menggabungkan imejan daripada Burung Matahari Emas, topeng emas Sanxingdui dan motif bunga raya. Ia menampilkan sulaman Shu, elemen warisan budaya tidak ketara negara China.
TWG 2025 dijadual untuk berlangsung dari 7 hingga 17 Ogos, yang menampilkan 34 sukan dan 60 disiplin.
![]() |
Reka bentuk bahagian depan dan belakang pingat emas Sukan Dunia 2025 Chengdu. (Foto ihsan IWGA) |