Pakar Antarabangsa Puji Pencapaian China Dalam Tadbir Urus Iklim

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 24 Julai 2025

Nota: Artikel terbitan Xinhua ini diterjemahkan dan disunting semula oleh People’s Daily Online

1.	Bronwyn Wake (dua dari kiri), ketua editor jurnal Nature Climate Change, dan Kannan Govindan (tiga dari kiri), profesor di University of Adelaide di Australia, menghadiri Persidangan Antarabangsa untuk Kepimpinan Iklim di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China pada 22 Julai 2025. (Foto oleh Institut Teknologi Harbin menerusi Xinhua)

Bronwyn Wake (dua dari kiri), ketua editor jurnal Nature Climate Change, dan Kannan Govindan (tiga dari kiri), profesor di University of Adelaide di Australia, menghadiri Persidangan Antarabangsa untuk Kepimpinan Iklim di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China pada 22 Julai 2025. (Foto oleh Institut Teknologi Harbin menerusi Xinhua)

Ketua editor jurnal Nature Climate Change, Bronwyn Wake terpegun dengan keprofesionalan para sarjana China, meskipun baru pertama kali mengadakan lawatan akademik ke Harbin, ibu kota Provinsi Heilongjiang di timur laut China.

Beliau menyifatkan bahawa China memiliki komuniti sarjana yang berdedikasi mantap kepada tadbir urus perubahan iklim dan kefahaman impak ekonominya, selain turut menzahirkan harapannya terhadap kebijaksanaan China yang lebih besar terhadap usaha kerjasama global dalam bidang-bidang tersebut.

Untuk rekod, Wake bersama-sama pakar dari negara-negara seperti United Kingdom dan Sepanyol telah ke Institut Teknologi Harbin bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa untuk Kepimpinan Iklim. Semasa berlangsungnya persidangan tersebut, mereka telah terlibat dalam perbincangan tentang isu seperti kerjasama iklim antarabangsa dan inovasi teknologi rendah karbon.

Menurut beliau, liputan pihaknya mencakupi bidang topik yang luas seperti sistem iklim, sains biologi, perubahan iklim, dan dasar-dasar berkaitan, iaitu yang mana penyelidik China telah pun menyediakan satu badan penyelidikan yang cemerlang.

Beliau menyatakan bahawa para sarjana China bukan sahaja meneroka cara untuk memajukan tadbir urus iklim domestik, tetapi juga menyumbang kepada penyelesaian sangat bernilai yang meningkatkan kerjasama dalam perubahan iklim global.

“China sentiasa memainkan peranan penting dalam rundingan iklim antarabangsa, seperti Perjanjian Paris,” kata Wake, sambil menyatakan harapannya untuk melihat China agar terus memacu agenda iklim global dan menyokong kerjasama antarabangsa.

Bagi Kannan Govindan, profesor di Universiti Adelaide di Australia, beliau berpendapat bahawa sektor tenaga boleh diperbaharui yang berkembang pesat di China berfungsi sebagai tonggak penting dalam menyokong tindakan iklim global.

Jelas beliau, tatkala cuaca ekstrem semakin mengganggu kebolehpercayaan rantaian bekalan global, teknologi tenaga bersih China yang pesat membangun seperti panel solar, turbin angin dan loji kuasa hidroelektrik pula bukan sahaja menurunkan kos pengeluaran tenaga global, malah turut menyokong pembangunan infrastruktur di pelbagai negara.

Kata Govindan, natijahnya adalah ia secara tidak langsung mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.

Beliau antara lainnya menyatakan bahawa China juga sedang memajukan infrastruktur berdaya tahan iklim melalui inisiatif perintis untuk eko-bandar raya dan bandar span, yang merupakan amalan tadbir urus iklim unik yang telah mendapat perhatian sarjana global.

Yuan Jiashuang, timbalan pengarah Pusat Iklim Nasional China yang turut hadir semasa persidangan itu pula memberitahu bahawa China telah menyediakan rangka kerja dasar yang teguh untuk puncak pelepasan karbon dan peneutralan karbon, dengan pelan pelaksanaan yang disesuaikan merangkumi sektor seperti tenaga, industri, pengangkutan, perdagangan, dan pembinaan.

Dalam pada itu, Pentadbiran Tenaga Kebangsaan (NEA) memberitahu bahawa setakat penghujung Jun, kapasiti terpasang untuk penjanaan tenaga angin China telah mencapai 570 juta kilowat, iaitu meningkat 22.7 peratus dari tahun ke tahun, sementara kapasiti tenaga suria pula melonjak 54.2 peratus dari tahun ke tahun kepada 1.1 bilion kilowat.

Penolong wakil penduduk Program Pembangunan PBB (UNDP) di China, Ma Chaode berkata bahawa impak yang didorong oleh perubahan iklim seperti pengagihan sumber air yang diubah dan peningkatan bencana cuaca ekstrem telah memberikan kesan mendalam terhadap ekonomi dan masyarakat.

Melihat kepada itu, Ma berkata bahawa matlamat peneutralan karbon dan kemuncak pelepasan karbon China telah menawarkan jalan keluar untuk tadbir urus iklim global.

Beliau turut berharap untuk melihat China meneruskan pengaruhnya dalam teknologi dan pendanaan pada masa depan, dan menggerakkan komuniti global untuk memenuhi matlamat pelepasan karbon menerusi kemajuan inovasi teknologi, memupuk gaya pemikiran baharu, mendorong pelaburan kewangan dan meningkatkan kesedaran awam.

Bronwyn Wake, ketua editor jurnal Nature Climate Change, menyampaikan ucapan semasa Persidangan Antarabangsa untuk Kepimpinan Iklim di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China pada 21 Julai 2025. (Foto oleh Institut Teknologi Harbin menerusi Xinhua)

Bronwyn Wake, ketua editor jurnal Nature Climate Change, menyampaikan ucapan semasa Persidangan Antarabangsa untuk Kepimpinan Iklim di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China pada 21 Julai 2025. (Foto oleh Institut Teknologi Harbin menerusi Xinhua)

Video

Berita Berkaitan