Perdagangan China-Liga Arab Catat Rekod Baharu pada Tujuh Bulan Pertama 2025

(CRI)Rabu 27 Ogos 2025

Jumlah perdagangan China dengan Liga Arab mencatat rekod baharu, apabila mencecah RMB1.71 trilion (RM1.01 trilion) dari Januari hingga Julai tahun ini, iaitu meningkat 3.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Jabatan Pentadbiran Am Kastam China pada Selasa, pada Julai sahaja, import dan eksport China ke Liga Arab mencecah RMB245.31 bilion (RM145 bilion), meningkat 6.9 peratus.

Daripada jumlah tersebut, eksport bernilai RMB135.54 bilion, mengekalkan pertumbuhan selama 21 bulan berturut-turut, manakala import mencecah RMB109.77 bilion (RM64.88 bilion), melebihi paras RMB100 bilion selama sembilan bulan berturut-turut.

China juga terus memperdalam kerjasama dalam bidang pertanian dengan negara-negara Liga Arab, termasuk menyokong pembangunan pertanian moden dan memperluas import produk pertanian khas dari rantau tersebut.

Pada tujuh bulan pertama 2025, eksport jentera pertanian dan benih tanaman China ke Liga Arab masing-masing meningkat 10.5 peratus dan 10.4 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam tempoh sama, import produk makanan laut dari Oman mencatatkan rekod tertinggi.

Sementara itu, import strawberi beku dari Mesir melonjak 54.7 peratus, coklat dari Lubnan meningkat 38.2 peratus dan bulu dari Algeria naik 12.8 peratus.

Video

Berita Berkaitan