China Tagih Kepakaran Global, Bina Taman Geologi Dinosaur Bertaraf Dunia

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 01 September 2025

Nota: Artikel dari Xinhua ini diterjemah dan diolah oleh People’s Daily Online

Foto memperlihatkan Taman Geologi Dinosaur Kebangsaan China  di Provinsi Heilongjiang, timur laut China

Foto memperlihatkan Taman Geologi Dinosaur Kebangsaan China di kaunti Jiayin.

Di luar sebuah forum perlindungan fosil antarabangsa di Provinsi Heilongjiang, timur laut China, ratusan peserta kelihatan teruja untuk menyelami pengalaman melakukan kerja-kerja penggalian di Taman Geologi Dinosaur Kebangsaan China.

Kaunti Jiayin di provinsi tersebut terkenal sebagai ‘kampung halaman dinosaur’, iaitu lokasi fosil dinosaur pertama yang ditemui di China pada 1902. Hari ini, gergasi pra-sejarah tersebut menjadi mercu tanda kepada Jiayin, selain turut menarik kehadiran para peminat dinosaur dari segenap bahagian dunia.

Beratus-ratus ahli paleontolgi dan pakar geologi dari China dan lapan negara lain termasuk Rusia, Perancis, Jerman dan Belgium telah menyertai aktiviti penuh meriah yang diadakan pada Forum untuk Perlindungan Fosil dan Simposium untuk Geosains Pelancongan ke-4 yang diadakan pada 27 dan 28 Ogos.

“Lihat pada kawasan yang hitam. Ini adalah tempat kebanyakan fosil ikan dijumpai,” ujar Sun Ge, pengerusi kehormat Jawatankuasa Pempoluran Sains di bawah Persatuan Ahli Paleontologi China ketika sedang memberikan penerangan di lapangan.

Difahamkan, forum tersebut dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Paleontologi China, Universiti Jilin, Universiti Normal Shenyang dan beberapa institut lain di bawah Akademi Sains China.

Forum yang sebelum ini dianjurkan pada 2017, 2019 dan 2023 itu bertujuan untuk mendorong perlindungan fosil paleontologi, khususnya dinosaur dan tapak-tapaknya; mempromosi pendidikan sains awam dan penyelidikan geosains; dan memperkukuh kerjasama dan pertukaran antarabangsa.

Sejak penemuan fosil hadraosaur pertama China pada 1902, Jiayin telah mengeluarkan lebih daripada 10 spesimen hadrosaur yang lengkap.

“Para pakar percaya bahawa terdapat kawasan dengan tinggalan dinosaur yang besar di sini, dengan sekurang-kurangnya 100 lagi fosil yang akan digali,” ujar Sun Kexin, seorang petugas di Muzium Dinosaur Shenzhou Jiayin di taman geologi tersebut.

China telah mendirikan taman geologi dinosaur kebangsaan yang pertama di Jiayin pada 2001, meliputi kawasan seluas 38.44 kilometer persegi dan mempunyai pelbagai fungsi seperti penyelidikan saintifik, pempopularan pendidikan sains serta pelancongan.

“Sejak fosil dinosaur pertama ditemui dan digali oleh ahli paleontologi Rusia, pakar tempatan dan luar negara telah terlibat dalam kerja-kerja penggalian di Jiayin, dengan pelbagai kejayaan menakjubkan tercipta sejak itu,” kata Shen Fengbin, pemulih fosil di taman geologi tersebut.

Usaha perlindungan dan penyelidikan fosil di Jiayin adalah hasil daripada kerjasama dan pertukaran antarabangsa. Abdul Rahman Ashraf, 83, seorang profesor di Universiti Bonn, Jerman merupakan salah satu daripada sebilangan besar ahli paleontologi asing yang menyertai forum tersebut.

“Selama lebih 40 tahun, saya telah bekerjasama dengan ramai profesor China dan membuahkan persahabatan yang baik,” ujar Ashraf yang telah melawat Jiayin sebanyak 25 kali dan secara dekat memanggil kaunti itu sebagai ‘kampung halaman kedua’ beliau.

Harufumi Nishida, presiden Pertubuhan Paleobotani Antarabangsa, telah melawat Jianyin buat pertama kalinya pada 2003.

Sejak itu, beliau telah kerap melawat Jiayin dan setiap satunya, beliau telah menyaksikan kemajuan yang menakjubkan buat kedua-dua China dan Jiayin.

“Organisma fosil termasuk fosil dinosaur dan ekosistem yang didiami oleh makhluk tersebut pada dahulu kala telah dapat diketahui dengan adanya persahabatan dan kolaborasi antarabangsa yang dibina oleh rakan-rakan China.

“Sebuah muzium yang mengagumkan telah dibina untuk mewariskan pengetahuan kepada generasi masa depan,” ujar Harufumi.

Di dalam taman geologi itu terdapatnya ‘Taman Patung Paleontolgi’, iaitu tempat 24 ahli paleontologi terkemuka antarabangsa termasuk 12 dari luar negara, dihargai atas sumbangan terhadap penyelidikan paleontologi dan geologi di Jiayin.

Wang Jun, presiden Persatuan Paleontologi China berkata bahawa Jiayin bukan sahaja tapak penting untuk penemuan fosil, tetapi juga sebuah jambatan untuk pertukaran antarabangsa.

“Menjadi tuan rumah kepada forum ini membawa makna yang signifikan. Ahli paleontologi tidak mengenal sempadan negara; ia adalah sains yang berkembang menerusi dialog, kerjasama dan kemajuan yang dikongsi bersama,” tambah beliau.

Video

Berita Berkaitan